PKR Kimanis: SPR sasar 70 peratus keluar mengundi
BEAUFORT - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pemilih pergi mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis 18 Januari ini.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya berharap pengundi dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu.
“SPR juga memohon semua pihak khususnya pihak media agar turut memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi pergi mengundi pada 18 Januari 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di sini hari ini.
Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).
ARTIKEL BERKAITAN: Warisan lawan BN di Kimanis
Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang, 67, yang akan dicabar oleh calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon PRK Parlimen Kimanis pada hari ini dan hari mengundi pada 18 Januari manakala hari pengundian awal 14 Januari.
Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bongawan dan Membakut dengan jumlah 29,664 pemilih layak mengundi, termasuk sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Pemilih itu terdiri daripada 14,800 lelaki dan 14,864 perempuan dengan DUN Bongawan mempunyai 16,273 pemilih dan DUN Membakut 13,391 pemilih.
Sementara itu, Azhar berkata, sebarang bahan kempen yang mengandungi perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.
BN boleh menang di Kimanis, kata Hadi
Beliau berkata, Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) boleh menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.
“Setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan PDRM berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit,” katanya.
Azhar berkata, SPR melantik 80 pemerhati pilihan raya daripada 14 organisasi melibatkan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan untuk memantau perjalanan proses PRK Kimanis.
Beliau berkata, keputusan PRK Kimanis dijangka diumumkan sebelum jam 10.00 malam pada 18 Januari.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!