Cebisan kain berhampiran rangka mungkin milik Bella - Kakak
BATU PAHAT - Penemuan cebisan kain pada rangka manusia yang tidak sempurna di rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani Kampung Batu 7, Tongkang Pecah memberi petunjuk kemungkinan besar ia adalah Mira Sharmila Samsusah, 32 atau Bella.
Kakak kepada Bella, Norisham, 36 berkata, ketika adiknya itu keluar dari rumah pada 14 Disember lalu, dia mengenakan baju kelawar berwarna gelap.
Bagaimanapun, dia dan keluarga masih menaruh harapan, rangka manusia yang ditemui itu bukan Bella.
"Saya dan keluarga mengharapkan keputusan ujian DNA yang dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru nanti akan memberikan jawapan berbeza dan rangka manusia itu bukan milik Bella.
"Ini kerana keluarga kami belum bersedia untuk menerima berita sedih selepas lebih sebulan mengharapkan pengakhiran tragedi kehilangan adik itu berlaku dengan baik," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut Norisham lagi, ibunya Noraini Salleh, 54 tidak dapat melelapkan mata selepas diberitahu mengenai penemuan rangka manusia yang dipercayai Bella pada petang Jumaat
"Kami amat berharap ujian DNA dapat disegerakan. Jika betul rangka itu adalah Bella, kami mahu kebumikannya dengan sempurna," katanya.
Sebelum itu, Ketua Polis Johor,Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada jam 2 petang Jumaat selepas dipandu salah seorang suspek.
Katanya, sebelum ini tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!