Ajal langgar babi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja
TAMPIN - Seorang operator dron maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor babi hutan di Kilometer 7.3 berhampiran Kampung Rokan di sini pada Sabtu.
Kejadian jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa lelaki berusia 20 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di IOI Gemencheh di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal Yamaha Y15 seorang diri.
"Hasil siasatan mendapati, penunggang motosikal tersebut dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Bukit Rokan ke tempat kerjanya di IOI Gemencheh.
"Sebaik sampai di lokasi, mangsa dipercayai telah melanggar seekor babi hutan yang menyeberang jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami cedera parah pada bahagian kepala.
Ujarnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke bahagian Forensik Hospital Tampin untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dan boleh menghubungi talian 06-4412502 atau 06-4431999 Bilik Gerakan IPD Tampin bagi membantu siasatan.
"Kertas siasatan telah dibuka di bawah sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!