Ahli Parlimen Alor Setar dilantik Ketua Pemuda PN

Ahmad Fadhli (dua dari kanan) menyerahkan surat pelantikan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Turut kelihatan; Muhyiddin (kiri) dan Dominic Lau (kanan).
Ahmad Fadhli (dua dari kanan) menyerahkan surat pelantikan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda PN yang baharu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Turut kelihatan; Muhyiddin (kiri) dan Dominic Lau (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilantik sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) baharu berkuat kuasa pada Sabtu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu dipersetujui Majlis Tertinggi PN semasa mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

“Mesyuarat ini turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta ahli Majlis Tertinggi lain.

“PN mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Ahmad Fadhli Shaari di atas sumbangan serta jasa bakti yang dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Ketua Pemuda PN bermula 26 Januari 2022 sehingga 19 Januari,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Jumaat.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Jumaat.

Sebelum ini, Afnan Hamimi, 43, pernah menyandang jawatan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang dan bertanding bagi kerusi Kepala Batas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau juga pernah mewakili Permatang Pauh dan Alor Setar, masing-masing ketika PRU14 serta PRU15 lalu.

Pada 2020 hingga 2022, Afnan memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut Hamzah, PN akan menganjurkan Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat serta Pemukiman Pemerkasaan parti dalam masa terdekat.

Tambahnya, PN turut mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memberikan keutamaan kepada isu ekonomi dengan menyelesaikan masalah rakyat yang terbeban.

“Situasi terkini beban sara hidup masyarakat semakin mendesak termasuk isu kenaikan tarif air pada 1 Februari ini.

“Majlis Tertinggi sebulat suara mendesak kerajaan supaya memberi keutamaan kepada isu ekonomi dengan menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!