'Tiada siapa dilindungi jika terlibat jenayah' - Ketua Polis Selangor

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengingatkan pegawai dan anggota bahawa tiada siapa yang akan dilindungi jika terlibat dengan kesalahan jenayah.

Menurutnya, semua dinasihatkan untuk mengambil iktibar daripada kes yang berlaku dan harus diingat kerana setiap kes akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

"Perkara seperti ini, tidak seharusnya berlaku. Di mana letaknya pemikiran kita sebagai penguat kuasa undang-undang yang menyalahgunakan kuasa.

"Saya ingatkan kepada semua, khususnya warga kerja Polis Selangor supaya tidak lupa tentang 5M yang menjadi punca kuasa sebagai pegawai dan anggota polis iaitu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia, mencegah dan mengesan penjenayah, menangkap dan mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes dua anggota yang disiasat bagi kes samun dan rogol, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, tambah beliau, akan tetapi 5M ini hanya diingati tetapi tidak dihayati dan dicakna sepenuhnya dalam penugasan.

Ujarnya, diakui bahawa masalah integriti ini telah merosakkan imej dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab sebagai warga PDRM untuk mengatasi isu-isu ini dan memulihkan keyakinan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita semua harus berpegang kepada dua fokus utama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam usaha untuk memastikan pasukan berada di atas landasan yang betul serta sentiasa dijadikan sebagai punca kuasa iaitu perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tatakelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat," katanya.

Justeru itu, harapan beliau bagi tahun 2024 ini, perlu lebih baik daripada tahun lepas dengan membawa harapan, semangat dan tekad yang baharu.

"Kedudukan pasukan harus kekal efisien bahkan harus sentiasa segar dan disegani oleh masyarakat. Sokongan padu daripada setiap lapisan warga Kontinjen Selangor untuk mencorakkan satu budaya kerja yang sinonim dengan tema Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada amat diperlukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!