Pemuda kongsi pengalaman selesai kes langgar kereta tanpa bertengkar
SHAH ALAM - Seorang pemilik kereta Honda Civic berkongsi pengalaman menyelesaikan kes kenderaannya dilanggar tanpa sengaja ketika diparkir Kuala Lumpur City Centre (KLCC) baru-baru ini.
Menurut pemuda bernama Hamzali Yahya itu, kesan calar di bahagian hadapan kereta disedari isterinya sebelum mendapati satu kertas bertulis nama Ah Chai dan nombor telefon diselitkan di pengelap cermin depan.
“Aku pun hubungi Ah Chai, dia kata terima kasih kerana hubungi dan minta jangan marah kerana terlanggar kereta.
“Dia minta maaf dan aku cakap tak marah dia sebab faham ini kemalangan, bukan suka-suka langgar kereta,” katanya yang berkongsi perbualan telefon dengan Ah Chai menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Ujar usahawan itu, dia memuji sikap Ah Chai yang ‘tidak lari’ daripada kesalahan dan mahu bertanggungjawab dengan membayar ganti rugi kerosakan.
Tambah Hamzali, selepas kereta dihantar ke bengkel didapati kesan calar tidak boleh digilap dan kos cat semula berharga RM350.
“Aku maklumkan kepada Ah Chai dan dia terus ‘transfer’ (pindahkan wang), kes selesai.
“Bukan semua kes harus diselesaikan dengan cara pertengkaran, ia boleh diselesaikan secara matang dan profesional,” ujarnya.
Netizen di ruangan komen memuji tindakan Ah Chai dan bersyukur kerana masih wujud individu yang baik serta jujur meskipun berbeza agama atau latar belakang.
“Moral of the story, setiap masalah ada jalan penyelesaian. Ah Chai, lu memang ‘steady’,” komen Mohd Rezza.
“Jarang jumpa orang macam ini zaman sekarang. Mesti mak ayah didik dia dengan baik,” ulas Shahrom Yusoff pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!