Bangkit cemerlang selepas pengajian terkandas

Muhammad Danial Iman (kanan) diumum penerima Pingat Emas Menteri di Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL pada Sabtu.
Muhammad Danial Iman (kanan) diumum penerima Pingat Emas Menteri di Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL pada Sabtu.
A
A
A

SERDANG - Gagal menamatkan pengajian di sebuah kolej swasta disebabkan beberapa faktor tidak bermakna gagal selamanya.

Muhammad Danial Iman Ramli, 25, membuktikan kecemerlangannya apabila kembali menyambung pengajian di Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) dan diumum penerima Pingat Emas Menteri di Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL pada Sabtu.

Anak Pasir Mas Kelantan itu berkata, dia sebelum ini pernah mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah kolej swasta, namun terhenti di pertengahan jalan disebabkan hilang minat selain isu kewangan dan pandemik Covid-19 melanda megara.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia berehat selama enam bulan sebelum mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di KPBKL dalam Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH).

"Masa berhenti belajar di kolej lama, saya tak tahu lagi untuk pergi ke mana tetapi ALLAH SWT dorong saya ke KPBKL. Ini semua takdir Tuhan.

"Ada orang terdekat yang turut ambil bidang industri halal dan mereka banyak beri tunjuk ajar dan bantu," katanya selepas selepas Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Muhammad Danial Iman diumum penerima pingat emas Menteri dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 sumbangan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dan akaun emas bernilai RM1,000 sumbangan MAIWP atas pencapaian cemerlang dalam akademik.

Selain Anugerah Pingat Emas Menteri, anugerah lain yang diberikan adalah Anugerah Pengerusi MAIWP, 10 Anugerah Pengerusi KPBKL dan dua Anugerah Lembaga Pengarah.

Artikel Berkaitan:

Nur Athirah (kiri) dan Muhammad Danial Iman menunjukkan anugerah diterima pada Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.
Nur Athirah (kiri) dan Muhammad Danial Iman menunjukkan anugerah diterima pada Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.

Seramai 1,448 graduan menerima diploma dan sijil profesional disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Muhammad Danial Iman berkata, dia kini menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) di sebuah institusi pendidikan swasta dalam jurusan operasi maritim.

"Saya berpandangan sebagai graduan DPIH, saya boleh kembangkan lagi bidang ini ke industri lain.

"Bagaimanapun saya belum buat keputusan tentang hala tuju karier dan bergantung kepada keadaan.

"Jika industri halal itu takdir kerjaya saya akan pergi tapi kalau boleh saya nak kembangkan lagi industri halal ke cabang lain juga," katanya.

Nur Athirah (kanan) menerima tajaan umrah disampaikan oleh Mohd Na'im pada Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.
Nur Athirah (kanan) menerima tajaan umrah disampaikan oleh Mohd Na'im pada Majlis Konvokesyen ke-16 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.

Sementara itu, graduan Diploma Perakaunan, Nur Athirah Abu Bakar, 23, yang menerima Anugerah Pengerusi MAIWP berkata, dia berterima kasih kepada Baitulmal yang memberikan biasaswa sepanjang pengajian lima semester di KPBKL.

"Dengan elaun diterima setiap bulan selain bantuan kewangan setiap semester banyak membantu kos pengajian tanpa bergantung pada bantuan keluarga memandangkan ayah sudah pencen manakala mak hanya suri rumah.

"Terima kasih kepada MAIWP untuk taja kos pengajian. Insya-ALLAH selepas saya bekerja nanti, saya akan bayar zakat untuk bantu golongan yang memerlukan pula nanti," katanya yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Nur Athirah yang memperoleh CGPA 3.85 turut mendapat tajaan umrah selama sembilan hari daripada Ikhlas.Com Travel Sdn Bhd.