8 hentian bas bersolar integrasikan UiTM bebas karbon, lestari alam sekitar

Dari kiri; Arnis, Mohamad Zuki dan Md Yusof ketika melakukan simbolik pengecasan gajet di salah sebuah perhentian bas berkuasa solar di UiTM Shah Alam.
Dari kiri; Arnis, Mohamad Zuki dan Md Yusof ketika melakukan simbolik pengecasan gajet di salah sebuah perhentian bas berkuasa solar di UiTM Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengintegrasikan persekitaran kampus mesra alam menerusi lapan hentian bas berkuasa solar yang beroperasi bermula hari ini.

Menurut Pengarah UGC, Profesor Madya Datin Dr Arnis Asmat projek tersebut merupakan hasil kerjasama antara UiTM Green Centre (UGC) dengan rakan strategik Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

Katanya, ia melibatkan tujuh perhentian bas dan sebuah lagi adalah tajaan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) di universiti tersebut.

“Perancangan projek tersebut telah bermula sejak setahun lalu dengan lapan bas terpilih dilengkapi sistem solar untuk pencahayaan dan kemudahan pengecas peranti USB.

“Teknologi solar pada hentian bas ini boleh beroperasi 24 jam sehari dan sistemnya bersifat hibrid selain penggunaan lampunya menggunakan 'smart' sistem.

"Apabila hentian ini digunapakai pelajar, maka lampunya akan beroperasi dan ini juga adalah satu penjimatan. Ini sekali gus dapat mempromosikan gaya hidup kampus yang mampan melalui pengurangan jejak karbon di kampus,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pelajar mencuba pengecasan gajet di salah sebuah perhentian bas berkuasa solar di UiTM Shah Alam.
Pelajar mencuba pengecasan gajet di salah sebuah perhentian bas berkuasa solar di UiTM Shah Alam.

Majlis perasmian hentian bas berkuasa solar itu disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Dr Md Yusof Hamid.

Artikel Berkaitan:

Menurut Arnis, kriteria pemilihan perhentian itu berdasarkan beberapa faktor seperti penerimaan pencahayaan matahari yang maksimum, reka bentuk bumbung hentian bas dan penggunaan oleh pelajar.

Jelas beliau, antara kelebihan perhentian tersebut ialah menggunakan tenaga matahari sebagai sumber tenaga, mengurangkan jejak karbon dan pencemaran udara serta mengurangkan kos tenaga dan pemeliharaan.

“UiTM sehingga kini telah mencapai pengurangan karbon sebanyak 45 peratus selaras pelan strategik dalam mencapai kampus hijau lestari pada tahun depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif CSR, Mohamad Zuki Wan Abdullah berharap melalui projek perintis tersebut, ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon, malah dapat menyemarakkan lagi inovasi seiring dengan perkembangan teknologi.

"Selaku rakan strategik bagi projek perintis ini, CSR sentiasa menyokong agenda kelestarian alam sekitar kerana isu ini salah satu keutamaan kami bukan sahaja dari segi operasi malah juga sumbangan kepada masyarakat setempat.

“Justeru, menerusi wujudnya hentian bas berkuasa solar tinggi adalah selari dengan usaha kerajaan untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!