'Kenaikan caj MPK bebankan rakyat'

Chean Chung (duduk, tengah) bersama Chon Siang (duduk; tiga dari kanan) pada sidang media berkaitan kenaikan caj oleh MPK di Semambu di sini.
Chean Chung (duduk, tengah) bersama Chon Siang (duduk; tiga dari kanan) pada sidang media berkaitan kenaikan caj oleh MPK di Semambu di sini.
A
A
A

KUANTAN - Kenaikan beberapa caj dan bayaran lesen yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada tahun ini disifatkan sebagai hadiah besar yang membebankan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, lebih mengecewakan apabila hal ini tidak pernah diadakan sebarang dialog atau makluman kepada warga Kuantan termasuk ADUN Pakatan Harapan (PH) bahkan dilaksanakan secara rahsia.

Menurutnya, rata-rata penduduk dan peniaga yang datang mengadu hanya menyedari kenaikan caj itu ketika hendak membuat pembayaran dan tindakan merahsiakan hanya menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Persekutuan.

"Menaikkan caj secara mendadak sehingga empat kali ganda ketika keadaan ekonomi sekarang adalah tidak bertanggungjawab.

"Ia telah menyebabkan peniaga tidak dapat membuat perancangan perbelanjaan dengan baik," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti Dun Semambu di sini hari ini.

Chean Chung berkata, lima aduan kenaikan caj yang diterima adalah peningkatan lesen papan tanda berlampu sebanyak 30 peratus, lesen perniagaan (15 peratus), caj letak kereta harian, bulanan dan tahunan meningkat antara 30 hingga 40 peratus, caj tempat letak kereta Teluk Cempedak (20 peratus) dan lesen rumah sarang burung walit pula sebanyak 400 peratus.

Menurutnya, tindakan ini hanya akan melemahkan daya saing peniaga di negeri ini dan boleh menghalang pembangunan ekonomi Pahang untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, ADUN Teruntum, Sim Chon Siang berkata, kini caj tempat letak kereta Teluk Cempedak pada kadar RM2.50 berbanding RM2.10 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah lokasi awam. Kenapa caj lebih? Sepatutnya kita kena lebih murah supaya ramai orang datang dan tambah bisnes kepada peniaga di sana," katanya.

Beliau turut mempersoalkan asas MPK membuat kenaikan caj yang menindas peniaga dan mempersoalkan ke mana bayaran atau pendapatan itu akan diagihkan kelak.

"Adakah gaji orang MPK tidak cukup sampai kena naik harga?," katanya.

Sehubungan itu pihaknya dengan kerjasama Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu akan mengadakan sesi perjumpaan dengan semua pengusaha perniagaan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada petang 12 Januari ini di lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!