Lima kereta rosak bongkah konkrit jatuh dari atas bangunan
KUALA LUMPUR - Sebuah kereta jenis Perodua Bezza rosak teruk selepas dihempap bongkah konkrit yang jatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan tempat letak kereta yang sedang dalam pembinaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, di sini pagi Sabtu.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kereta tersebut mengalami kerosakan di bahagian bumbung selain tingkap pecah dalam kejadian pada kira-kira 11.30 pagi yang turut menyebabkan empat kereta lain terkena serpihan.
Penduduk PPR Jelatek, Mohd Fadil Md Razal berkata, kereta Peodua Bezza yang rosak ditimpa bongkah konkrit itu milik adiknya.
"Ketika kejadian, terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Saya yang tinggal di Blok 9 segera keluar dari rumah dan terkejut melihat keadaan kereta adik saya itu.
"Ada juga kenderaan lain yang terlibat termasuk sebuah kereta Honda CRV yang retak cermin hadapan dan kemek di bahagian bumbung terkena serpihan konkrit,” katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Menurutnya, Honda CRV itu milik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang pegawainya sedang bertugas di Pusat Media Digital di PPR Jelatek ketika kejadian berlaku.
Sementara itu, Penolong Pengarah MCMC Pejabat Wilayah Persekutuan, Juliana Irni Jamaludin berkata, bongkah konkrit yang jatuh dari tingkat tujuh projek pembinaan itu dipercayai dilanggar kren yang sedang beroperasi.
"Mujur ketika kejadian tiada orang di dalam kereta dan tiada sebarang kecederaan menimpa kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Seorang lagi penduduk, Mohd Asyraf Rozali berkata, kejadian itu merupakan yang terburuk berlaku sejak pembinaan tempat letak kereta tersebut bermula pada 2021 dan berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemak semula tahap keselamatan kawasan pembinaan berkenaan.
"Tapak bangunan tempat letak kereta PPR Jelatek yang sedang dibina ini asalnya kawasan taman permainan kanak-kanak. Kini kawasan tepi projek itu jadi tempat mereka bermain kerana ketiadaan taman permainan,” katanya yang turut menggesa DBKL menutup bahagian yang sedang dalam proses pembinaan dengan sempurna. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!