Bahrain tundukkan Harimau Malaya 1-0
[DIKEMAS KINI] HARIMAU Malaya terpaksa akur tewas 0-1 kepada pasukan di ranking ke-86 dunia, Bahrain dalam aksi Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu.
Gol masa kecederaan jaringan Ali Madan memusnahkan hasrat skuad kendalian Kim Pan-gon untuk meraih keputusan positif dalam perlawanan itu sekali gus menutup peluang mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Skuad negara yang melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama tampil dengan persembahan lebih baik berbanding ketika tewas 0-4 kepada Jordan dalam perlawanan pertama baru-baru ini.
Separuh masa pertama, pasukan kendalian Kim Pan-gon berjaya mengekang gerakan Bahrain selain terhasilnya beberapa peluang menjaringkan gol melalui gandingan Arif Aiman Mohd Hanapi, Faisal Halim dan Paulo Josue.
Harimau Malaya yang tampil dengan corak serangan balas pantas hampir membuka tirai jaringan menerusi Arif Aiman pada minit ke-15, namun diselamatkan oleh penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfalla.
Benteng pertahanan negara berdepan detik cemas pada minit ke-31 apabila Lutfalla melakukan hantaran jauh dan menemui Kamil Al Aswad yang melakukan percubaan menewaskan Ahmad Syihan Hazmi.
Namun, mujur ada Dominic Tan yang berjaya mengeluarkan bola tersebut sebelum melintasi garisan gol.
Separuh masa kedua menyaksikan Kim Pan-gon melakukan pertukaran membawa masuk Natxo Insa di jentera tengah yang menggantikan Syamer Kutty Abba.
Tidak banyak peluang tercipta pada separuh masa kedua dengan permainan hanya kembali rancak pada penghujung perlawanan.
Matthew Davies mempunyai peluang terbaik untuk meletakkan Harimau Malaya di hadapan pada minit ke-89, namun percubaanya melambung tinggi.
Gol kemenangan Ali pada masa kecederaan diperolehi menerusi jaringan dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh Ahmad Syihan.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada Khamis manakala Bahrain pula akan menentang jordan pada hari yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!