Ali Madan dedikasi gol kemenangan kepada keluarga, penyokong

Ali Madan ketika menjaringkan gol pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto Bernama
Ali Madan ketika menjaringkan gol pada perlawanan di antara Malaysia menentang Bahrain peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN tengah Bahrain, Ali Madan mendedikasikan gol kemenangannya ke atas Malaysia pada perlawanan kedua Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 kepada seluruh ahli keluarganya dan penyokong setia skuad Dilmun’s Warriors.

Pemain kelab Ajman berusia 28 tahun itu menjaringkan gol pada minit-minit akhir masa kecederaan babak kedua perlawanan untuk mengesahkan kemenangan 1-0 Bahrain ke atas Malaysia sekali gus membantu pasukannya meraih kemenangan pertama pada kempen kali ini.

Kemenangan itu menghidupkan peluang Bahrain untuk memburu tempat ke pusingan 16 terbaik menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Jordan Khamis ini, sekali gus menyamai pencapaian pada edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Ia merupakan saat yang hebat untuk menjaringkan gol pada minit-minit terakhir dengan tekanan yang tinggi saya ingin mendedikasikan gol ini kepada ibu dan bapa saya, isteri, anak-anak dan penyokong,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di sini.

Ali Madan diasak pemain Malaysia, Faisal Halim dan Stuar Wilkin. Foto Bernama
Ali Madan diasak pemain Malaysia, Faisal Halim dan Stuar Wilkin. Foto Bernama

Gol itu merupakan jaringan pertamanya di pentas Piala Asia sejak kali pertama mewakili Bahrain pada edisi lepas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bahrain, Juan Antonio Pizzi merasakan pasukan bimbingannya layak memenangi perlawanan yang mendebarkan itu.

Beliau berkata, gol kemenangan pada minit-minit akhir itu disebabkan keupayaan anak buahnya mengekalkan fokus sepanjang permainan yang menyaksikan mereka berjaya mencipta beberapa peluang untuk memecah kebuntuan.

Artikel Berkaitan:

"Kami memenanginya pada minit-minit terakhir tetapi ia bukannya nasib, kami berhak menang, hasil kerja keras dan kami mencipta banyak peluang tetapi tidak dapat melakukan jaringan pada awalnya. Kami tahu ia akan menjadi suatu perlawanan yang sukar dan ia sememangnya berlaku, kami berhak untuk menang, kata jurulatih berusia 55 tahun itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!