Penemuan fosil dirujuk kepada Jabatan Warisan Negara
IPOH - Penemuan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang dekat Kampar akan dirujuk kepada Jabatan Warisan Negara, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, proses seperti dokumentasi dan pengiktirafan perlu melalui jabatan itu yang bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan warisan.
"Apabila disebutkan mengenai penemuan fosil, Jabatan Warisan akan masuk terlebih dahulu untuk melakukan penilaian dari segi usia, nilai dan sebagainya.
"Kita tidak boleh menyentuh penemuan berkenaan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Media melaporkan sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) menjumpai fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun.
Fosil yang terdiri daripada beberapa jenis hidupan purba spesies siput laut yang sudah lama pupus itu ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar.
Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor memaklumkan, kumpulan itu menjelajah kawasan berkenaan selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!