Iran ikrar balas dendam, lima pegawai maut dibedil Israel
DAMSYIK - Iran berikrar untuk membalas serangan terbaharu Israel yang telah mengorbankan lima anggota Pengawal Revolusi di Damsyik pada Sabtu.
Presiden Iran, Ebrahim Raisi berkata, Teheran tidak akan membiarkan 'pembunuhan pengecut' tidak bertanggungjawab menyasarkan sewenang-wenangnya kedudukan anggota mereka di Syria.
Israel memperhebatkan serangan yang menyasarkan tokoh kanan Iran dan sekutu di Syria dan Lubnan, penyokong kumpulan pejuang Hamas.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan lima anggotanya terkorban dalam serangan Israel, musuh ketat serantaunya.
Hamas, kumpulan yang disokong oleh Teheran, turut mengutuk serangan itu sebagai 'jenayah terkutuk'.
Dalam satu kenyataan, Ebrahim mengutuk serangan disifatkan sebagai 'pengecut' oleh rejim zionis.
"Tidak dinafikan bahawa meneruskan tindakan pengganas dan jenayah seperti itu... tidak akan kekal tanpa tindak balas daripada Iran," katanya.
Sebelum ini, jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanani turut menyalahkan Israel dan berkata, Teheran mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap keganasan terancang pada masa dan tempat yang sesuai.
Memetik sumber, agensi berita Iran, Mehr berkata, Ketua Intel Syria Pengawal Revolusi dan timbalannya adalah antara mereka yang terkorban dalam serangan ke atas Syria oleh Israel.
Sementara itu, Pemantau Hak Asasi Syria berkata, serangan Israel ke atas kejiranan Mazzeh di ibu negara itu mengorbankan 10 orang.
Media Iran melaporkan salah seorang yang maut ialah Jeneral Sadegh Omidzadeh, individu bertanggungjawab di Syria untuk perisikan Pasukan Quds, iaitu cabang operasi asing IRGC.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi mengenai kematiannya.
Sebelum ini, Pengawal Revolusi Iran mendakwa pihaknya berjaya menyerang dan memusnahkan ibu pejabat pengintip Israel, Mossad di wilayah separa autonomi Iraq, Kurdistan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!