United pertaruh Omar Berrada kembalikan era kegemilangan
GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United melantik Omar Berrada sebagai ketua pegawai eksekutifnya yang baharu, kata kelab itu.
Tarikh mula Berrada akan disahkan dalam masa terdekat manakala Patrick Stewart akan meneruskan sebagai ketua pegawai eksekutif sementara.
"Kelab berazam untuk meletakkan bola sepak dan prestasi di atas padang kembali sebagai nadi kepada semua yang kami lakukan. Pelantikan Omar mewakili langkah pertama dalam perjalanan ini.
"Cita-cita kami adalah untuk menjadikan Manchester United kembali sebagai kelab yang memenangi gelaran. Kami gembira kerana Omar menyertai kami untuk membantu kami mencapai matlamat itu, supaya, sekali lagi, peminat United dapat melihat, dalam kata-kata Sir Matt Busby, bendera merah berkibar tinggi di kemuncak bola sepak Inggeris, Eropah dan dunia," kata kelab itu.
Sebagai rekod, Berrada yang dianggap sebagai salah seorang eksekutif paling berpengalaman dalam bola sepak Eropah, kini memegang jawatan Pengarah Operasi Bola Sepak di City Football Group di mana dia menyelia 11 kelab di lima benua.
Beliau sebelum ini memegang jawatan kanan di Barcelona.
United yang kini menduduki tempat ketujuh dalam carta Liga Perdana Inggeris memperkuatkan skuadnya pada jendela perpindahan musim panas, dengan pemain baru termasuk Rasmus Hojlund dari Atalanta, Mason Mount dari Chelsea dan Andre Onana dari Inter Milan.
Di samping itu, jutawan British Sir Jim Ratcliffe memperoleh pegangan minoriti tahun lepas, menandakan permulaan baharu dalam pelan pemulihan kelab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!