Aaron kecewa cara akhiri cabaran
"SAYA tidak apa-apa tetapi mengecewakan untuk menamatkan perlawanan dengan cara sebegini."
Itu luahan pemain badminton beregu nombor satu negara, Aaron Chia selepas cabaran bersama Soh Wooi Yik untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka India Super 750 tidak kesampaian apabila terkandas di separuh akhir di New Delhi pada Ahad.
Aaron Chia-Wooi Yik tunduk kepada jagoan nombor dua dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty straight set 18-21, 14-21 dalam masa 45 minit di Dewan Tertutup KD Jadhav.
Set pertama aksi kedua-dua beregu sengit menyaksikan mereka hanya dipisahkan beberapa mata sejak dari awal permainan tanpa rali panjang.
Set kedua berlangsung agresif sebelum pukulan Chirag mengenai mata kiri Aaron, ketika kedudukan 13-13 yang menjejaskan permainan beregu negara apabila mereka memberikan lapan mata seterusnya kepada lawan.
"Saya tidak menyalahkan keadaan mata saya sepenuhnya walaupun ia memberi kesan kepada permainan kami.
"Kami bermula agak baik set pertama tetapi kami tidak bermain pada tahap kelebihan kami pada set kedua, dan itulah punca kekalahan," kata Aaron.
Aaron-Wooi Yik sebelum itu mara selepas menewaskan beregu nombor lapan dunia dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi straight set 21-19, 21-19 dalam masa 45 minit
Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pula mara separuh akhir selepas menang straight set ke atas Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 21-7, 21-10 dalam masa 35 minit.
Edisi 2023, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara selepas tewas kepada pasangan dari China, Liang Weikeng-Wang Chang, 21-14, 21-19, 21-18 dalam perlawanan akhir.
Beregu negara itu mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 11-21, 21-15, 21-16.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!