'Gelombang Padi' dekati tahap sara diri
SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sesungguhnya memberi perhatian penuh terhadap industri padi dan beras negara.
Pada 5 Januari lalu baginda berkenan berangkat ke Jalan Tali Air 5, Sekinchan, Selangor untuk meninjau dan menikmati aktiviti menanam padi secara moden dan sistematik di kawasan itu. Selang 17 hari selepas itu, Yang di-Pertuan Agong akan tampil berangkat ke kawasan penanaman padi di Merchong, Pekan, Pahang pada 22 Januari ini.
Hal ini menunjukkan minat dan sokongan baginda kepada kepimpinan dan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang bertekad dan berusaha mentransformasikan peningkatan sistem pengeluaran padi dan beras negara kepada sasaran yang lebih stabil.
Kadar Sara Diri atau Self Sufficiency Rate (SSR) beras negara ketika ini adalah 65 peratus. Ini bermakna penghasilan beras dalam negara hanya dapat memenuhi 65 peratus permintaan tempatan.
Selebihnya, Malaysia terpaksa mengimport 35 peratus lagi dari negara luar. Negara kita mengimport beras dari beberapa negara terutamanya India, Pakistan, Myanmar, Thailand dan Kemboja.
Isu kekurangan bekalan beras yang agak meruncing pada tahun 2023, membuka mata banyak pihak akan kepentingan Malaysia memberi lebih tumpuan kepada peningkatan pengeluaran beras tempatan.
Tidak dinafikan bukan sahaja Menteri, pegawai tinggi dan warga KPKM, malah semua pemain dalam industri padi dan beras negara telah bekerja kuat untuk meningkatkan SSR beras negara.
Biarlah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk kajian, pelbagai sistem penanaman diteliti, banyak kelemahan telah diperbetulkan, dan tindakan penambahbaikan dilipatkan gandakan, suatu hari nanti segala usaha ini akan membuahkan hasil. Segala inisiatif disediakan dan pelaburan dikeluarkan oleh kerajaan melalui KPKM bukan suatu pembaziran atau sia-sia.
Masyarakat pengguna sedar akan cabaran yang dihadapi oleh pesawah dan warga KPKM untuk mencapai purata pengeluaran beras kepada tahap SSR yang disasarkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 bagi menampung permintaan dalam negara.
Rakyat juga memahami keadaan pergantungan negara ini kepada beras import sebanyak 1.1 juta tan metrik pada 2022 apabila negara kita hanya mampu mengeluarkan sebanyak 1.6 juta tan metrik beras sahaja dengan kadar sara diri 62.6 peratus daripada keperluan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sendiri tidak memandang mudah situasi kekurangan bekalan beras pada tahun lepas yang telah membawa rakyat merasai impak buruknya apabila terpaksa berdepan episod kenaikan harga yang mendadak.
Kerajaan melalui KPKM sendiri menjangkakan cabaran ke tahun 2030 (enam tahun akan datang) akan menjadi tempoh cukup kritikal untuk Malaysia mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras.
Hal ini kerana kita mungkin berhadapan risiko jika negara pengeksport cuba mengurangkan atau menghentikan eksport beras bagi melindungi permintaan domestik negara masing-masing. Keadaan ini boleh menjadi serius jika ia benar-benar berlaku.
Tahun lepas, India menghentikan eksport beras putih secara mengejut akibat krisis perubahan iklim yang berlaku secara global. Malaysia juga tidak terkecuali berhadapan masalah berkenaan faktor di luar kawalan seperti ketidakcukupan bekalan benih, kelewatan pengedaran bekalan baja, tanah jerlus, infrastruktur pengairan dan saliran yang tidak lengkap serta penyertaan tenaga golongan muda yang masih rendah.
Oleh itu, Mohamad melihat penekanan KPKM pada 2024 adalah untuk meningkatkan SSR sebagai keutamaan bermula tahun ini sehingga 2030 akan memberi impak positif dalam meningkatkan purata pengeluaran beras negara.
Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 kepada warga KPKM pada 17 Januari lalu, Mohamad berharap supaya negara mencapai 100 peratus SSR beras, iaitu sasaran peningkatan 35 peratus berbanding kadar SSR negara pada 65 peratus, tahun lepas.
Inilah cabaran yang perlu KPKM atasi bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan dan mengurangkan pergantungan import. Pada tahun ini juga KPKM memulakan beberapa inisiatif menambah baik mekanisme tatakelola dan pelaksanaan sedia ada serta merangka hala tuju baharu bagi industri padi dan beras negara. Perubahan ini digelar ‘Gelombang Padi.’
Pelaksanaan inisiatif Gelombang Padi ini menggariskan 12 program di bawahnya yang dilihat mampu mencetuskan transformasi industri padi dan beras bagi menjamin keterjaminan makanan negara.
Antara inisiatif berkenaan adalah memperkenalkan Insentif Benih Padi Sah (IBPS); memulihkan dan membangunkan kawasan tanah jerlus; memperkasa pembekalan input pertanian; memperkukuh pengurusan air ke kawasan tanaman padi dan memperluaskan pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan.
Selain itu KPKM juga menumpukan aspek menambah baik infrastruktur di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk projek perintis
lima penanaman padi dalam tempoh dua tahun yang sudah dilaksanakan di 213 hektar sawah padi di bawah MADA. Manakala Program SMART SSB Ala Sekinchan sudah diperkenalkan di 187 hektar sawah padi di Sik dan Kerpan, Kedah selain Simpang Empat di Perlis dan Besut di Terengganu.
Matlamat pelaksanaan Program SMART SBB dan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun adalah untuk mencapai SSR beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 dan 80 peratus menjelang 2030.
Sebagai Menteri yang memegang taruh KPKM, Mohamad telah memperingatkan betapa penting untuk pesawah benar-benar memahami keperluan untuk meningkatkan hasil padi negara dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Malaysia perlu berusaha menghasilkan padi untuk mencapai kadar sara diri sepenuhnya tanpa bergantung kepada import lagi. Ini kerana Malaysia berkeupayaan mencapai tahap tersebut dan tidak mustahil menjadi negara pengeksport beras sekiranya semua pihak khususnya pesawah sanggup berubah dan dapat menghasilkan pengeluaran padi sekitar 10 tan per hektar.
Penglibatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam tanaman padi merupakan satu simbol yang memberi semangat dan rangsangan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama berganding bahu merealisasikan soal keterjaminan makanan khasnya beras berada dalam keadaan yang mencukupi di negara ini.
Jika Taiwan sebuah negara pulau mampu mencapai SSR beras 100 peratus melalui pertanian berteknologi tinggi, malah mengeksport hasil berasnya, mengapa tidak Malaysia?
Sebagaimana kata Mohamad, “Boleh atau tidak, jawapannya ada pada diri masing-masing. Boleh, kalau kita mahu, bukan hanya berteori tetapi melakukan praktikalnya.”
Salleh Suparman
Sekinchan, Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!