Arteta puas hati skuad sedia ada
ARSENAL menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada barisan pemain sedia ada ketika tempoh perpindahan kian hampir menuju penutup akhir bulan ini.
Perkara itu ditegaskan oleh pengendalinya Mikel Arteta yang optimis dengan kekuatan The Gunners dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Malah keputusan jurulatih berusia 41 tahun itu senada dengan pimpinan kelab yang enggan menambah belanja di sebalik gesaan peminat agar pasukan dirombak pada pertengahan musim.
Arsenal juga dilihat enggan membayar mahal terhadap sasaran nombor utama mereka iaitu penyerang Brentford, Ivan Toney.
“Kami akan cuba sedaya upaya. Kami perlu memastikan pemain berasa dipercayai dan mempunyai keyakinan. Jika mereka diragui ia tidak membantu. Kami sukakan pemain yang ada sekarang,” ujar Arteta.
Sebahagian peminat melihat kepada keperluan Arsenal untuk menambah seorang penyerang baharu selepas The Gunners disingkirkan oleh Liverpool dalam Piala FA.
Malah Arteta dilihat tenang menguruskan topik perpindahan pemain selepas Arsenal membelasah Crystal Palace 5-0 di laman sendiri malam Sabtu.
The Gunners beraksi dengan lapan pemain berbeza Gunners menyumbang kepada jaringan besar itu.
“Ketika ini ia tidak realistik. Apa yang perlu dilakukan adalah untuk meningkatkan pemain kami dan cuba meraih keputusan lebih baik bersama skuad sedia ada,” ujar Arteta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!