Belgium ikrar sokong kes genosid difailkan terhadap Israel

Belgium berikrar menyokong sepenuhnya kes yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ. Foto 123RF
Belgium berikrar menyokong sepenuhnya kes yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ. Foto 123RF
A
A
A

BRUSSELS - Belgium berikrar menyokong sepenuhnya kes yang difailkan oleh Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kerjasama Pembangunan Belgium, Caroline Gennez menerusi hantaran di akaun X beliau, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Gennez mengulangi sokongan tidak berbelah bagi Belgium terhadap kes itu di ICJ, menekankan bahawa jika mahkamah memanggil Israel untuk menghentikan operasi ketenteraannya terhadap Gaza, Belgium akan memberikan sokongan penuh.

Menteri itu berjanji akan meneruskan komitmen untuk memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan segera di semua peringkat.

Selain itu, Belgium mengesahkan usaha berterusan di dalam Kesatuan Eropah dan di peringkat antarabangsa untuk mendesak gencatan senjata secara kekal, akses penuh kepada bantuan kemanusiaan dan menyeru pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.

Afrika Selatan memulakan tindakan undang-undang terhadap Israel awal bulan ini, menuduh rejim Zionis melakukan jenayah genosid terhadap penduduk Gaza dalam konflik selama lebih tiga bulan, mengakibatkan puluhan ribu penduduk terbunuh dan bencana kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Pada November tahun sebelumnya, Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), mengumumkan bahawa mahkamah itu masih menjalankan siasatan terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel sejak 13 Jun 2014. - Bernama-WAFA

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!