Penduduk terus bantah cadangan WTE Batu Arang

Penduduk menyertai perhimpunan membantah cadangan projek membangunkan insinerator (WTE) Batu Arang di Bandar Puteri pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Rafiq)
Penduduk menyertai perhimpunan membantah cadangan projek membangunkan insinerator (WTE) Batu Arang di Bandar Puteri pada Ahad. (Gambar kecil: Mohd Rafiq)
A
A
A

RAWANG - Kira-kira 700 mewakili 300,000 penduduk menyertai perhimpunan membantah cadangan projek membangunkan insinerator (WTE) Batu Arang di Bandar Puteri dekat sini pada Ahad.

Bagaimanapun ini bukan kali pertama siri bantahan penduduk terhadap cadangan projek berkenaan tetapi sudah bermula sejak tahun lalu malah akan terus diadakan sehingga jalan penyelesaian dapat dicapai.

Perhimpunan anjuran Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) di tapak pasar malam, Medan Puteri Bandar Puteri pada kali ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah.

Mohd Rafiq ketika ditemui berkata, penduduk akan meneruskan bantahan terhadap cadangan pembinaan insinerator di kawasan mereka sehingga kerajaan Selangor memberikan respon yang positif.

Ahli RTI menunjukkan kawasan cadangan projek berkenaan di Batu Arang.
Ahli RTI menunjukkan kawasan cadangan projek berkenaan di Batu Arang.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira suara rakyat yang menentang cadangan projek itu berikutan kesan risiko kesihatan dan alam sekitar kepada mereka kelak.

"Cadangan kerajaan negeri untuk membina WTE di Batu Arang adalah sangat tidak bersesuaian dan kita sudah melihat siri bantahan penduduk terhadap projek ini semakin meningkat.

"Unik bantahan kali ini ia bukanlah dibantah oleh saya sebagai wakil rakyat pembangkang tetapi juga YB Chua (ADUN Rawang, Chua Wei Kiat) daripada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen (Selayang, William Leong)," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan cadangan projek insinerator itu akan menampung sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Mohd Rafiq berkata, bantahan terhadap projek berkenaan itu bukan sekadar satu langkah politik kerana bantahan turut melibatkan wakil daripada kerajaan negeri.

"Amat wajar kerajaan negeri mengambil serius bantahan ini dan berharap William sebagai ahli Parlimen dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan membawa isu ini ke Parlimen yang akan bersidang tidak lama lagi.

"Sementara 22 ADUN pembangkang (di DUN Selangor) akan menolak cadangan WTE namun kami bukan menolak sepenuhnya projek ini tetapi kerana kawasan ia dicadangkan (Batu Arang) adalah tidak sesuai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!