Isu penghantar makanan: Semak pelaksanaan usaha kerajaan, bukan manipulasi fakta
SHAH ALAM - [DKEMAS KINI] Pemimpin pembangkang diingatkan supaya menyemak dan memantau pelaksanaan usaha kerajaan serta tidak memanipulasi fakta terhadap orang awam seperti mana yang dinyatakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengenai isu mogok penghantar p-hailing sebuah syarikat pengendali perkhidmatan baru-baru ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak berkata, kenyataan dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal dikesali kerana ia merupakan satu pembohongan yang nyata.
Malah menurutnya, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga mempertikaikan komitmen kerajaan pasca pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu dengan 24 syarikat p-hailing beberapa bulan lalu.
“Anwar telah pun menyatakan komitmen meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran kepada golongan penghantar p-hailing yang diterjemahkan kepada peruntukan sebanyak RM1.6 bilion dalam Belanjawan 2024, peningkatan ketara berbanding RM1 bilion semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Sekiranya benar Wan Ahmad Fayhsal mengimani dakwaannya, maka seharusnya janji yang turut dinyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri pada 24 November 2020 untuk memudahkan urusan penghantar makanan mendapatkan pinjaman dan bantuan subsidi minyak terlaksana.
“Malah kadar upah ini boleh sahaja dikekalkan terus kerana kononnya di bawah MoF, tetapi itu bukanlah kesnya,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau mengulas lanjut kenyataan dibuat Wan Ahmad Fayhsal yang mendesak Anwar untuk mengambil serius isu mogok penghantar p-hailing semasa Himpunan Tuntutan Hak Rider Se-Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia dekat Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
Justeru, Haziq Azfar memaklumkan, sebagai pembangkang yang konstruktif, pihak berkenaan wajar memantau rapat pelaksanaan program latihan kemahiran dan 'upskilling' supaya manfaatnya dilimpahkan secara maksimum kepada ‘rider’.
Tambah beliau, Wan Ahmad Fayhsal jelas gagal menjadi seorang persona pembangkang yang mengkritik secara konstruktif malah meneruskan projek pembodohan umatnya.
“Maka, AMK tidak akan teragak-agak 'membantu' beliau dan pembangkang menjalankan tugasnya untuk melakukan semakan terhadap impak peruntukan latihan kemahiran serta ‘upskilling’ supaya manfaatnya dimaksimumkan kepada penghantar p-hailing sedia ada yang memerlukan pembelaan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!