Lari lepas langgar tembok istana
ALOR SETAR - Seorang lelaki melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tembok hadapan Istana Anak Bukit, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic di hadapan istana pada 7.05 pagi tadi.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta remuk teruk pada bahagian depan, manakala keempat-empat tayar juga pecah, termasuk penutup lampu hadapan pecah. Kenderaan itu dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta itu datang dari arah Alor Setar menghala ke Kepala Batas sebelum terbabas ke kaki lima jalan di hadapan istana.
“Kereta itu dipercayai dipandu dengan sangat laju menyebabkan ia hilang kawalan, dan terus melanggar tembok hadapan istana,” katanya.
Mohd Rozi berkata, pemandu kereta berkenaan masih belum dapat dikesan kerana menghilangkan diri semasa menerima rawatan di hospital.
“Pemandu itu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!