Terengganu masih menilai jumlah kerugian akibat bencana banjir
MARANG - Kerajaan Terengganu masih menilai kerugian yang ditanggung oleh pelbagai sektor akibat banjir gelombang ketiga yang melanda negeri itu hujung Disember tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berdasarkan perincian awal, dua sektor penting iaitu pertanian dan penternakan merekodkan kerugian lebih kecil berbanding ketika bencana sama melanda sebelum ini.
"Untuk gelombang banjir baru-baru ini, belum (terima laporan kerugian) lagi. Kita ada anggaran kerosakan kepada sektor pertanian penternakan, tetapi kadar kerosakan terhadap dua sektor itu jauh lebih kecil dari yang berlaku sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan geran hak milik 5A Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya masih mengumpul bilangan keluarga terjejas dalam bencana itu dan akan menyesuaikan bentuk bantuan diberikan.
"Kita masih mengumpul bilangan keluarga terjejas. Kalau tak silap saya tak lebih 1,000 keluarga. Dari segi datanya ada yang terkesan akibat kerosakan kepada rumah mereka di mana kerosakan yang direkodkan juga sangat minimum berbanding sebelum ini.
"Bantuan yang akan diberikan juga tidak sama untuk setiap mangsa banjir sebab ada yang perlukan bantuan kayu, batu bata, atap zink dan sebagainya. Itu yang sedang diuruskan pihak kerajaan dengan bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)," ujar beliau.
Banjir gelombang ketiga yang bermula sejak 24 Disember tahun lalu di Terengganu berakhir apabila kesemua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pada 31 Disember.
Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan tarif air di Terengganu, beliau berkata, kadar kenaikan yang dilakukan mengambil kira semua aspek yang dijamin tidak akan membebankan pengguna.
"Kenaikan tarif air ini berlaku di seluruh negara. Setelah dirunding antara semua negeri-negeri bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sejak beberapa tahun ada negeri-negeri yang kadarnya tidak pernah berubah iaitu dalam tempoh 10,15 tahun dan di Terengganu lebih 20 tahun.
"Kenaikan ini sedikit sebanyak boleh bantu syarikat-syarikat air untuk menyediakan pengeluaran lebih baik kepada pengguna termasuk penggantian paip dan sebagainya.
"Jadi, its a win win (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga kepada pengguna supaya perkhidmatan itu lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!