TH guna sumber sendiri bantu jemaah haji - Zulkifli
SEREMBAN - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumber kewangan mereka sendiri bagi membantu jemaah menunaikan ibadah haji melalui Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) yang disalurkan setiap tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, para pendeposit TH tidak perlu bimbang tentang simpanan mereka yang kemungkinan disalah guna.
"Tabung Haji telah memperuntukkan sumber mereka sendiri untuk membantu kewangan (beri subsidi).
"Jadi di peringkat itu, TH telah mengambil kira keseluruhan risiko dan faktor bagi membantu agar ia tidak akan mengganggu gugat dan menyusahkan pendeposit-pendeposit yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Haji 2023/2024 di Masjid Kariah Paroi Jaya dekat sini pada Ahad.
Menurutnya, sehingga kini terdapat lebih 4 juta pendeposit TH dan kebajikan serta hak-hak mereka tidak akan terjejas.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kenaikan kos ibadah haji tahun ini tidak dapat dielakkan, namun TH dan kerajaan berusaha bagi memastikan peningkatan tersebut tidak terlalu membebankan.
Tambahnya, penawaran subsidi atau Bantuan Kewangan Haji diteruskan dan TH dijangka akan membiayai kos sebanyak RM350.1 juta tahun ini.
"Kita mahu atau tidak, melihat kepada perkembangan dunia termasuk dari segi aspek inflasi, pertukaran wang, kesan Covid-19 serta Cukai Nilai Tambah (VAT) dan sebagainya, kita terpaksa meningkatkan kos itu.
"Begitupun, kita harus ambil maklum bagaimana TH dan pihak kerajaan cuba untuk memastikan kos ini tak jadi beban dengan beri bantuan kewangan yang sangat besar kepada bakal jemaah haji tahun ini,"katanya.
Jelasnya, tahun ini, TH memperuntukkan bantuan kewangan haji sehingga 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40 selain bantuan kewangan tambahan RM1,000 kepada jemaah haji B40.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!