Pembeli RUMAWIP kecewa rumah masih terbengkalai
SHAH ALAM - Pembeli Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak melahirkan rasa kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek rumah mampu milik itu masih terbengkalai.
Seorang pengguna aplikasi X dengan menggunakan nama Cikgu Siti Suhaila Burihan berkata, pembeli terpaksa menanggung beban kewangan tambahan apabila terpaksa membayar ansuran bulanan kos membeli rumah berkenaan sebanyak RM1,500 sejak 2020.
Katanya, lebih teruk mereka yang menyewa kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM1,000 setiap bulan bagi membiayai kos sewa rumah.
"Belum lagi bebanan yang lain, duit simpanan dah habis semata-mata nak bayar rumah yang tidak boleh didiami. Pembeli sudah buntu mahu harapkan siapa, pemaju pun tiada cakap apa-apa.
"Kesian kepada 2,400 keluarga yang terlibat, sebelum ini kita pernah bertindak, masuk media dan pernah diperdebatkan di Parlimen namun rumah masih tidak siap.
"Jumpa pemaju pun dilayan sinis dan direndah-rendahkan, adakah ini hanya tinggal harapan?" ujarnya yang juga salah seorang pembeli rumah tersebut.
Projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dan melibatkan sebanyak 2,400 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi serta 850 kaki persegi, masing-masing dijual pada harga RM266,000 hingga RM299,000.
Bagaimanapun, difahamkan projek itu sudah terbengkalai selama lebih setahun, namun pembeli rumah berkenaan sudah mula membayar ansuran bulanan penuh sejak Disember 2022.
Dalam pada itu, seorang lagi pembeli, Wan Nor Nadia turut berkongsi rasa sedih berhubung perkara tersebut di laman Facebook miliknya.
Jelasnya, dia akan mengalir air mata setiap kali ditanya mengenai status rumah.
"Setiap kali ditanya status rumah, automatik akan mengalir air mata. Jawapannya ada pada gambar. Yang lalui sahaja tahu apa yang dilalui, ia salah satu ujian dunia, ALLAH SWT nak uji dalam bentuk harta.
"Nampak seolah-olah hampir siap, tapi sebenarnya dah terbengkalai hampir setahun lebih. Sedangkan bayaran ansuran mula dibuat sejak Disember 2018 manakala penuh pada Disember 2022," katanya.
Tambah Wan Nor Nadia, dia terpaksa kuat demi anak-anak dan keluarga.
"Dengan kos sara hidup yang tinggi, anak anak tengah membesar dan macam macam lagi, tak dapat tidak Nadia kena terus kuat untuk keluarga.
"Lain-lain ujian, biarlah Nadia simpan rapi dan terus kuat hadapi. Doakan Nadia terus kuat, sihat, kaya berjaya dunia akhirat," ujarnya.
Pada Oktober lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat berkata, jawatankuasa bertindak kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan pemaju, pembeli dan institusi kewangan.
Pendirian kerajaan jelas Akmal, adalah pemaju wajib menyelesaikan atau menyiapkan sebarang kemajuan perumahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!