Kes Bella: Polis percepat keputusan DNA penemuan rangka
JOHOR BAHRU - Permohonan akan dibuat Polis Johor kepada Jabatan Kimia agar mempercepatkan keputusan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel rangka manusia yang ditemui di dalam sebuah rumah terbiar di Jalan Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat, pada Jumaat lalu
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, keputusan sampel DNA itu akan diperolehi sekurang-kurangnya dalam minggu ini.
Jelasnya, permohonan mempercepatkan keputusan DNA itu bagi merungkaikan misteri kehilangan Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 32, yang dilaporkan hilang sejak 14 Disember tahun lalu.
“Ya, Polis Johor akan memohon keputusan ujian DNA ke atas sampel rangka manusia itu dipercepatkan bagi merungkaikan sama ada tulang itu milik Bella atau individu lain," katanya.
Penemuan rangka manusia termasuk tengkorak dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di sini dijangka dapat merungkai kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella.
Sebelum itu, pada sidang akhbar Jumaat lalu, Kamarul Zaman berkata, rangka itu ditemui selepas dipandu salah seorang suspek yang kini sudah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jelasnya, polis sudah mengambil sampel DNA daripada kakak dan ibu Bella untuk mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita berkenaan atau sebaliknya.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!