'Dron tarik minat orang muda kerja di sawah padi'
ALOR SETAR - Kemahiran pengendalian dron membuka peluang kerja baharu di negara ini berikutan kerjaya itu kini mendapat permintaan tinggi seperti di sektor pertanian.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, teknologi itu juga secara tidak langsung dapat menarik minat golongan muda untuk bekerja dalam bidang pertanian.
Menurutnya, ketika ini banyak pusat latihan bertauliah termasuk swasta menyediakan latihan di peringkat Sijil Kemahiran (SKM) Tahap 2 dan SKM Tahap 3.
"Sebuah syarikat swasta menggunakan kemahiran orang muda mengendalikan dron untuk menyembur racun di kawasan sawah padi.
"Hari ini kita melihat majoriti yang mengendalikan sawah padi berumur 60 tahun ke atas. Mereka tidak mampu mengerjakan atau menghasilkan kualiti pada tahap terbaik.
"Saya fikir perlu untuk memanggil generasi muda mengusahakan sawah padi menggunakan teknologi baharu," katanya kepada media selepas meninjau kerja meracun kawasan sawah padi menggunakan dron oleh sebuah syarikat tempatan di Kampung Pengapit Batu, Jalan Datuk Kumbar, semalam.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya menggalakkan syarikat yang membuka pusat latihan pengendalian dan pemasangan dron mendapatkan pentauliahan melalui jabatan pembangunan kemahiran bagi pensijilan SKM 2 dan SKM3.
Jelasnya, kerjasama juga akan diadakan bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) serta Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bagi memastikan kursus kemahiran berkaitan dron diselaraskan agar latihan selamat dan mematuhi undang undang.
"Kita harap syarikat yang berkaitan dron ini akan menghantar 'pilot' mereka untuk mendapatkan sijil latihan teknikal dan vokasional (TVET).
"Kita mahu memastikan pengendali dron mempunyai sijil yang sah supaya tidak memberikan kesan sampingan kepada perkara lain pada masa akan datang," katanya.
Hadir sama adalah Exco Kedah, Tan Kok Yew.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!