Warga emas bakar tilam, bantal berang tak dibawa ke majlis perkahwinan
AMPANG JAYA - Berang tidak dibawa ke majlis perkahwinan, seorang lelaki bertindak membakar tilam serta bantal dalam kejadian di sebuah rumah dekat Taman Pandan Mewah pada Jumaat.
Tindakan suspek yang merupakan warga emas itu membawa padah apabila dia diberkas pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berumur 61 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.10 malam.
"Siasatan mendapati adik mangsa berumur 57 tahun yang merupakan seorang wanita tiba di rumah sebelum menghidu seperti benda terbakar.
"Wanita berkenaan kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati tilam dan bantal dalam sebuah bilik telah dibakar oleh suspek menggunakan pemetik api bagaimanapun kebakaran itu telah dipadamkan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, laporan yang dibuat wanita terbabit kira-kira jam 9 malam itu kemudian membawa kepada penangkapan suspek.
"Suspek diberkas bersama satu pemetik api untuk siasatan lanjut berhubung kejadian.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat suspek marah kepada wanita terbabit kerana pergi ke Kajang tanpa membawa suspek untuk hadir majlis perkahwinan anak saudara mereka," katanya.
Menurutnya, semakan dijalankan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
"Selain itu, saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah.
"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!