Bukit Aman gempur kongsi gelap di Klang

Antara individu yang ditahan dalam operasi di Klang. (Gambar kecil: Fadil)
Antara individu yang ditahan dalam operasi di Klang. (Gambar kecil: Fadil)
A
A
A

KLANG - Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, mengempur segala elemen berkaitan kumpulan kongsi gelap dan gangsterism dalam Op Khas Aman Fasa 1, di seluruh daerah Klang Selatan dan Klang Utara sejak 15 Januari lalu hingga Ahad.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi itu menyasarkan individu yang bergiat aktif dalam dua kumpulan kongsi gelap, sarang penagihan dadah dan tapak projek pembinaan yang dikuasai kumpulan tersebut.

"Seramai 133 individu termasuk 13 warga asing ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ, Bukit Aman ini dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Fadil berkata, tangkapan ahli kongsi gelap ini dibuat berdasarkan rekod keahlian yang sudah dikenal pasti oleh JSJ Bukit Aman berdasarkan serbuan tangkapan individu lain yang pernah dilaksanakan dalam operasi sebelum ini.

"Melalui rekod (orbat) JSJ, kita membuat risikan sama ada mereka masih aktif dalam kegiatan jenayah mahupun pengedaran dadah sebelum diberkas dalam Op Khas Aman, Siri 1 ini," katanya.

Beliau berkata, JSJ melalui D7 turut menjalankan serbuan ke atas 16 tapak projek pembinaan yang dipercayai mempunyai elemen yang menjana kewangan dan ekonomi untuk dua kumpulan kongsi gelap tersebut.

"Kita turut menyerbu tiga sarang utama penagihan dadah membabitkan dua di daerah Klang Selatan dan satu di daerah Klang Utara iaitu di Taman Sentosa, Klang; jejambat Kampung Sammy, Pelabuhan Klang dan tanah lot Jalan Merpati, Taman Eng Ann, Klang.

"Seramai 34 orang penagih dadah tempatan telah diserahkam kepada AADK untuk tindakan selanjutnya manakala enam orang penagih dadah warga asing akan disiasat di bawah Akta Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan pelbagai kes-kes jenayah yang dilaporkan berlaku di dua daerah berkenaan termasuk kes samun dan pemerasan yang tular di media sosial.

"JSJ berusaha membanteras segala elemen berkaitan kumpulan kongsi gelap yang dikaitkan dengan aktiviti pemerasan, pergaduhan untuk menguasai kawasan tertentu, menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah serta samun dan mendatangkan kecederaan.

"Kita berharap supaya masyarakat boleh berada dalam keadaan tanpa merasa takut terhadap jenayah selain berkongsi maklumat kepada pihak polis," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!