Melayu akan hilang hanya bermotif politik - Mustapha
SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Melayu akan hilang 10 tahun lagi hanyalah bermotif dendam politik.
Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia hanya sekadar untuk melarikan diri daripada isu penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kroninya, Tun Dr Daim Zainuddin dan juga anak-anaknya.
Menurutnya, Tun Mahathir sedar dia semakin tertekan dan tidak relevan maka cerita Melayu hilang kuasa dibangkitkan.
"Kenyataan Mahathir bermotif politik dendam yang cuba menakutkan orang Melayu, dia mempersoalkan perpaduan Melayu. Kalau Melayu tidak bersatu maka Melayu akan hilang 10 tahun lagi, maksudnya Melayu akan hilang kuasa politik.
"Yang anehnya dia mempersoalkan perpecahan setelah dia yang memecah-belahkan Melayu. Dia sekarang bercakap tentang perpaduan setelah dia yang menjadi penyebab bangsa itu tidak bersatu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada Jumaat, Tun Mahathir mengeluarkan kenyataan bangsa Melayu berisiko untuk hilang dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya tidak bersatu padu dari sekarang.
Beliau mendakwa, Melayu juga akan ditawan dan ‘hilang tanpa perang’ ekoran tiada siapa yang ambil berat terhadap nasib bangsa itu ketika ini.
Tambah Mustapha, Tun Mahathir tidak pernah belajar daripada sejarah.
"Dia hanya belajar sejarah si kitol sebagai pengkhianat. Sebab itu dia menjadi pengkhianat.
"Sebenarnya Mahathir merapu dan mengigau disiang hari. Dia cuba menggambarkan Melayu seperti Palestin, cuma bezanya Palestin mungkin hilang melalui peperangan tapi Melayu hilang disebabkan perpecahan," ujarnya.
Mustapha berpendapat, Melayu tidak akan hilang di dunia selagi ada bangsa Melayu yang mengaku mereka orang Melayu.
"Melayu sebagai satu bangsa tidak mungkin akan hilang di bumi ini kerana Melayu ada diseluruh Nusantara.
" Melayu itu bangsa besar, Melayu itu Bugis, Melayu itu Jawa, Melayu itu Bajau bahkan Arab dan Pakistan pun Melayu. Cuma Mahathir yang berbeza, dia asal India dan bukan Melayu," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!