Mula-mula bela sembilan ekor sahaja
KUANTAN - Bermula sekadar hobi dengan memelihara sembilan ekor arnab, kini pemuda berusia 35 tahun itu menternak lebih 300 haiwan jenis pedaging dan hiasan itu.
Mohamad Farizar Mohamad berkata, dia tidak menyangka arnab itu bertambah dalam tempoh tiga tahun menternak secara separuh masa sebelum mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.
Menurutnya, permintaan yang tinggi terhadap daging arnab menyebabkan dia nekad meneruskan projek ternakan haiwan itu.
"Saya melihat arnab mampu memberi pendapatan lumayan kerana mudah membiak dan sukar dijangkiti penyakit.
"Jadi, saya membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memberi fokus kepada ternakan ini," katanya ketika ditemui di Kampung Seri Fajar hari ini.
Beliau berkata, permintaan daging arnab daripada penduduk tempatan dan luar Pahang juga semakin meningkat.
Jelasnya, setiap bulan ladang FM Agro Farm miliknya hanya mampu mengeluarkan kira-kira 100 kilogram (kg) sahaja namun masih tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.
"Saya ada 200 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan daging segar dan berempah yang masing-masing memerlukan antara lima hingga 20kg sebulan. Kebiasaan harga daging bertulang RM36 dan RM47kg bagi daging tanpa tulang.
"Saya terpaksa mendapatkan bekalan daging segar daripada pembekal bagi memenuhi permintaan pelanggan sekaligus turut membuka peluang kepada penternak arnab lain untuk menjana pendapatan," katanya.
Selain menjual daging segar, Mahamad Farizar berkata, dia turut membekalkan baka atau anak arnab berumur dua bulan.
Katanya, baka arnab itu dijual pada harga antara RM50 hingga RM100 seekor dan permintaannya kini begitu menggalakkan.
Mohamad Farizar berkata, pendapatan hasil penjualan daging, anak arnab dan induk jenis pedaging termasuk hiasan tidak menentu dan dianggarkan lebih RM3,000 sebulan bergantung kepada permintaan pelanggan.
"Apa yang paling penting, perniagaan masih boleh diteruskan dengan baik setakat ini," katanya
Penternak ini juga memaklumkan, daging arnab rendah lemak baik dan baik untuk kesihatan terutama bagi yang mengalami lemah jantung.
"Terdapat juga pelanggan yang mendapatkan daging arnab untuk hidangan kucing baka import kesayangan mereka. Pemilik kucing berpendapat haiwan peliharaan mereka lebih sihat dan bulu menjadi cantik," katanya.
Dia yakin masa depan industri ternakan arnab pedaging dan hiasan amat cerah serta mampu memberi pulangan yang menguntungkan, sekiranya diusahakan dengan skala besar.
Menurutnya, ternakan arnab bukan sahaja boleh menjual daging dan baka, bulu serta najisnya juga mendapat permintaan.
"Jadi untuk lebih berjaya dalam industri ternakan haiwan ini saya mengikuti beberapa kursus ternakan arnab termasuk proses sembelihan dan penyediaan daging segar yang berkualiti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!