Yu Qi raih gelaran Terbuka India
PEMAIN perseorangan lelaki nombor dua dunia, Shi Yu Qi dari China muncul juara Kejohanan Badminton Terbuka India selepas mengalahkan Lee Cheuk dari Hong Kong 23-21, 21-17 pada final di sini hari ini.
Yu Qi, 27, naib juara Terbuka Malaysia minggu lepas, mengambil masa 54 minit untuk melakarkan kejayaan manakala gelaran perseorangan wanita menjadi milik pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Tai Tzu Ying dari Taiwan.
Pada aksi final, Tzu Ying mengejutkan pemenang Sukan Olimpik, Chen Yu Fei 21-16, 21-12 dalam pertarungan selama 42 minit.
Sementara itu, juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan mengecewakan wakil tuan rumah, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy untuk merangkul gelaran juara beregu lelaki.
Bagaimanapun, pasangan Korea Selatan itu terpaksa bermandi peluh sebelum bangkit 15-21, 21-11, 21-18 pada perlawanan selama 65 minit itu.
Gelaran beregu wanita menjadi milik pasangan Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara selepas mengalahkan pasangan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-12, 21-13.
Sementara itu, gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai membawa pulang gelaran beregu campuran dengan kemenangan 21-16, 21-16 ke atas gandingan nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!