Cak Imin, diam-diam ubi berisi

Ketika sesi debat ketiga cawapres pada 22 Disember lalu, Cak Imin dikatakan terlalu berhati-hati ketika berbicara dan tidak menunjukkan 'taring' sebenar.
Ketika sesi debat ketiga cawapres pada 22 Disember lalu, Cak Imin dikatakan terlalu berhati-hati ketika berbicara dan tidak menunjukkan 'taring' sebenar.
A
A
A

JAKARTA - Perjalanan politik calon wakil presiden (cawapres) No. Siri Satu yang bergandingan dengan calon presiden (capres), Anies Baswedan dianggap menarik kerana beliau bermula daripada seorang aktivis, pentadbir parti, ahli majlis sebelum bergelar menteri.

Muhaimin Iskandar, 58, atau lebih mesra disapa Cak Imin @ Gus Imin merupakan model peranan untuk kader Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan segelintir anggota Nahdlatul Ulama (NU) yang mengiktiraf kepimpinan beliau.

Cak Imin disegani kerana perwatakannya yang lebih gemar bertolak-ansur dan terbuka untuk berkolaborasi dengan sesiapa pun asalkan bersesuaian dengan perjuangan PKB serta memberi manfaat kepada rakyat.

Walaupun dianggap pemimpin yang menggunakan pendekatan agak 'lembut', beliau juga adalah seorang individu yang berpendirian tegas.Ketika sesi debat ketiga cawapres pada 22 Disember lalu, Cak Imin dikatakan terlalu berhati-hati ketika berbicara dan tidak menunjukkan 'taring' sebenar.

Prestasinya pada sesi debat keempat yang berlangsung pada Ahad dianggap penting untuk memancing undi undecided voters selepas keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan pesaing mereka, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka meraih lebih 50 peratus undi.

Bagi tidak menghampakan penyokongnya dan Anies, sebuah rakaman video yang menjadi tular menunjukkan beliau sedang fokus pada skrin komputer riba sebagai persediaan menghadapi sesi debat tersebut.

Menerusi ruangan komen, pengguna media sosial berseloroh dengan menyatakan Cak Imin kelihatan seperti seorang mahasiswa yang tekun belajar dengan penampilan yang lebih 'gemoy' (comel) walaupun sebelum ini ramai yang agak skeptikal dengan cawapres tersebut.

Artikel Berkaitan:

Anies (kiri) dan Cak Imin dianggap sebagai pasukan yang hebat untuk menawan pengundi Jawa dan Muslim.
Anies (kiri) dan Cak Imin dianggap sebagai pasukan yang hebat untuk menawan pengundi Jawa dan Muslim.

Visi Cak Imin untuk Indonesia adalah berasaskan populisme.

Beliau berikrar mahu meningkatkan dana desa daripada 2 bilion rupiah (RM603,598) kepada 5 bilion rupiah (RM1.5 juta) untuk setiap kampung bagi menggalakkan pembangunan ekonomi tempatan selain meningkatkan kehidupan masyarakat luar bandar.

Beliau menegaskan bahawa peningkatan dalam dana desa adalah pelaburan sederhana bagi memupuk kemajuan ekonomi yang menjadi sumber kekayaan negara dan potensinya untuk berkembang.

Dari segi ideologi, Cak Imin yang banyak bergabung dengan pertubuhan Islam terbesar menuntut kesamaan untuk semua rakyat Indonesia, tanpa mengira agama, bangsa, pilihan peribadi atau identiti suku mereka.

'TUAH' GUS DUR

Muhaimin Iskandar dilahirkan pada 24 September 1966 di Jombang, Jawa Timur.

Penduduk di Kabupaten Lumajang memasang kain rentang tertera 'Amin' yang menggabungkan nama Anies dan Cak Imin.
Penduduk di Kabupaten Lumajang memasang kain rentang tertera 'Amin' yang menggabungkan nama Anies dan Cak Imin.

Kehidupan awal Cak Imin ditandai dengan pergaulan rapat dengan tokoh terkemuka dalam politik Indonesia iaitu Presiden Keempat, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur yang merupakan bapa saudaranya.

Zaman kanak-kanak beliau penuh dengan memori bersama Gus Dur yang menjadi guru, mentor, malah pernah bermain bola sepak bersama-sama dengannya.

Tetapi, hubungan mereka menjadi renggang apabila kedua-duanya bertelagah tentang kepimpinan PKB.

Cak Imin mendapatkan pendidikan di Madrasah Tsanawiyah Negeri di Jombang dan di Madrasah Aliyah (MA) Negeri 1 Yogyakarta.

Selepas tamat belajar di pondok pesantren pada 1985, beliau menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda di Fakulti Sains Politik dan Sosial di Universiti Gadjah Mada (UGM).Kerjaya politik Cak Imin bermula ketika era reformasi pada 1998 apabila beliau mengasaskan PKB bersama tokok terkemuka NU termasuk Gus Dur.

Ketika itu, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung PKB.

Cak Imin meneruskan kerjayanya dalam bidang politik dengan menyertai Pemilihan Umum 1999 dan dilantik sebagai ahli Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) untuk dua penggal berturut-turut serta turut menjadi Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat pada usia 33 tahun, sekali gus bergelar salah seorang pemimpin paling muda menganggotai badan perundangan pada masa tersebut.

Penglibatannya dalam dunia politik terus bersinar apabila dilantik sebagai Pengerusi PKB dengan menyingkirkan bapa saudaranya sewaktu Kongres PKB di Semarang, Jawa Tengah pada 2005.

Kredibilitinya dipuji banyak pihak kerana berjaya mengemudi PKB di tengah-tengah dinamik politik yang mencabar pada 2005-2009 apabila parti itu berdepan pelbagai konflik dalaman.

Pada 2009, Cak Imin memegang jawatan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi yang menjadi titik tolak buatnya untuk diberi kepercayaan menjadi pasangan regu kepada Anies dengan menggabungkan sokongan tradisional dan luar bandar beliau di Jawa Timur bersama pangkalan bandar dan moden bekas Gabenor Jakarta tersebut, sekali gus menjadikan mereka pasukan yang hebat bagi menawan pengundi Jawa serta Muslim. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!