Piala Asia 2023: Thailand tenang hampiri pusingan kalah mati
IMPIAN Thailand untuk mara ke pusingan 16 terbaik Piala Asia Qatar 2023 semakin menjadi kenyataan selepas mengikat Oman tanpa jaringan dalam perlawanan kedua Kumpulan F di Stadium Abdullah bin Khalifa.
Oman yang tewas 1-2 kepada Arab Saudi dalam perlawanan pertama di Stadium Khalifa International pada 17 Januari lalu berusaha untuk memberikan tekanan sepanjang separuh masa pertama.
Namun Thailand yang mengejutkan Kyrgyzstan 2-0 di Stadium Abdullah bin Khalifa sebelum ini berjaya mengekang asakan angkatan Branko Ivankovic.
Separuh masa kedua, Oman hampir mendahului, namun percubaan pemain tengah Salaah Al-Yahyaei gagal menemui sasaran.
Penyerang Buriram United, Supachai Chaided - yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan pembukaan Thailand 2-0 ke atas Kyrgyzstan - juga gagal menjelmakan sentuhan padu dalam perlawanan itu.
Keputusan seri meletakkan Thailand di tangga teratas Kumpulan F dengan empat mata selepas dua perlawanan berpeluang cerah untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
Sementara itu, pengendali Thailand, Masatada Ishii mengakui sangat gembira dengan satu mata tersebut.
“Kami masuk ke perlawanan ini dengan tekad mahukan tiga mata, tetapi ketika permainan berlalu, kami melihat apa yang boleh dilakukan.
“Kesudahannya kami sangat gembira dengan satu mata,” kata pengendali dari Jepun itu.
Dalam pada itu, Ivanovic mengakui bahawa Thailand sangat padu apabila menyifatkan sukar untuk jentera serangannya mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!