Piala Asia 2023: Arab Saudi mara peringkat kalah mati

Mohamed Kanno meraikan jaringan bersama pemain-pemain Arab Saudi lain. Foto: Agensi.
Mohamed Kanno meraikan jaringan bersama pemain-pemain Arab Saudi lain. Foto: Agensi.
A
A
A

JUARA tiga kali, Arab Saudi layak ke peringkat kalah mati Piala Asia 2023 selepas menewaskan Kyrgyzstan 2-0 dalam perlawanan Kumpulan F di Stadium Ahmed bin Ali.

Keputusan itu melonjakkan Arab Saudi ke enam mata di tangga teratas Kumpulan F manakala Thailand ketinggalan dua mata di tempat kedua selepas mereka seri 0-0 dengan Oman (satu mata).

Kyrgyzstan pula berada di kedudukan tercorot selepas tewas kedua-dua perlawanan sebelum ini.

Kyrgyzstan terdahulu kehilangan khidmat Aizar Akmatov yang dilayangkan kad merah selepas 'menghadiahkan' but tinggi kepada Sami Al-Naji pada minit kesembilan.

Pemain pertahanan Kyrgyz itu pada mulanya diberi amaran, namun menerima kad merah terus selepas semakan ulangan video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun Arab Saudi yang dipacu Roberto Mancini mengambil masa untuk penguasaan bola dan kelebihan pemain selepas beberapa peluang membuka jaringan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Gol dicari Arab Saudi akhirnya dijelmakan pada minit ke-35 apabila hantaran Mohamed Kanno menewaskan penjaga gol, Erzhan Tokotayev.

Hari malang Kyrgyzstan bertambah buruk apabila giliran Kimi Merk pula dilayangkan kad merah pada minit ke-52 kerana cabaran melulu ke atas Hassan Al-Tambakti.

Artikel Berkaitan:

Dia diarahkan meninggalkan padang selepas semakan VAR mendapati pemain tengah kelab for Pakhtakor Tashkent itu mengasari pertahanan selepas hanya diberi amaran.

Kyrgyzstan yang kemudiannya lebih bertahan menyekat asakan jentera serangan Arab Saudi.

Bagaimanapun Faisal Al-Ghamdi menggandakan kelebihan Arab Saudi dengan rembatan jarak jauh yang sekali lagi menewaskan Tokotayev yang beraksi bersama kelab Sanliurfaspor pada minit ke-84.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!