Sindiket dadah terbesar Sabah: Datuk, 10 ahli Geng Upik didakwa
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang ahli perniagaan, Datuk Maslan Sani dan 10 individu lain didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu di sini pada Isnin atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Upik.
Kesemua tertuduh menghadapi tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang itu antara 2015 hingga tahun lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada ahli perniagaan berusia 41 tahun itu bersama 10 individu berkenaan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Tertuduh ketiga pula, Mohd Fauzie Rablin, 33, dituduh antara 2022 dan 24 Disember 2023, keempat dan kelima, Shahlan Shah Abdul Samad, 37, dan Maslan, 41, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023, tertuduh keenam, Nelson Yen Yee Chung, 46, tertuduh ketujuh dan kelapan, Mohd Faridzul Asmahadi, 31, dan Fazrul Bahar, 32, dituduh antara 2020 dan 24 Disember 2023, tertuduh kesembilan, Alkan Abraham, 35, dituduh antara 2015 dan 24 Disember 2023 manakala dua lagi tertuduh iaitu Maslan Mahmud dan Mahathir Jibarail masing-masing berumur 49 tahun dituduh antara 2018 dan 24 Disember 2023.
Kesemua mereka dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Upik' dan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum seksyen yang sama.
Prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd Sham, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzuan.
Sementara itu, Jaysalfian diwakili Mohd Amirul Amin, Mohd Fauzie diwakili peguam Sylyester Kuan, Shahlan Shah, Mohd Faridzul dan Fazrul diwakili peguam mereka Shahlan Jufri dan Mohd Lokman Zabidi.
Sebelum itu, Noor Hafizah menetapkan 1 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan tidak ada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!