Liverpool tiada masalah tanpa Salah
LIVERPOOL mengetepikan ketiadaan Mohamed Salah untuk mendahului lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Bournemouth, 4-0 di Stadium Vitality pada Isnin.
Dua gol dijelmakan Diogo Jota (m-70, m-79) dan Darwin Nunez (m-49, m-93) sudah cukup membolehkan angkatan Jurgen Klopp melakar kemenangan ke-14 selepas mengharungi 21 perlawanan.
Pemburuan kejuaraan The Reds sebelum itu diuji apabila pemain bintang kelab Merseyside tersebut berada bersama Mesir pada Piala Negara-Negara Afrika.
Namun Jota dan Nunez berjaya membuktikan kredibiliti masing-masing untuk terus kekal relevan bersama dengan antara pasukan terbaik dalam Liga Perdana itu.
Bournemouth hanya tewas sekali dalam sembilan perlawanan sebelum ini berusaha mengeluarkan diri dari zon penyingkiran.
Bagaimanapun, keinginan The Cherries disekat apabila Liverpool bangkit lebih agresif separuh masa kedua untuk menang 4-0 di laman lawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!