RUMAWIP: KPKT keluar kenyataan petang ini - Aiman Athirah
SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Residensi Hektar Gombak yang masih terbengkalai, petang ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya dijangka mengeluarkan kenyataan tersebut selepas selesai pertemuan Mesyuarat 'Task Force' yang berlangsung pada Isnin.
"Saya akan keluarkan kenyataan selepas Mesyuarat Task Force petang ini insya-ALLAH," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, pembeli RUMAWIP, Residensi Hektar Gombak melahirkan rasa kecewa apabila hasrat memiliki kediaman sendiri belum tercapai kerana projek rumah mampu milik itu masih terbengkalai.
Projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2017 dan melibatkan sebanyak 2,400 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi serta 850 kaki persegi, masing-masing dijual pada harga RM266,000 hingga RM299,000.
Bagaimanapun, difahamkan projek itu sudah terbengkalai selama lebih setahun, namun pembeli rumah berkenaan sudah mula membayar ansuran bulanan penuh sejak Disember 2022.
Pada Oktober lepas, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan di Dewan Rakyat berkata, jawatankuasa bertindak kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan pemaju, pembeli dan institusi kewangan.
Pendirian kerajaan jelas Akmal, adalah pemaju wajib menyelesaikan atau menyiapkan sebarang kemajuan perumahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!