Program subsidi bersasar SARA bermula hari ini - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan program subsidi bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kembali bermula secara berperingkat pada Isnin.
Menerusi perkongsian di Facebook beliau, Anwar berkata, program SARA telah ditambah baik, dengan peruntukan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM700 juta, ketimbang perbelanjaan RM130 juta pada tahun lepas.
Menurutnya, peruntukan yang lebih besar ini membolehkan kerajaan menambah jumlah penerima SARA kepada 700,000, ketimbang 210,000 pada tahun lalu.
“Jumlah bantuan juga dinaikkan sehingga RM1,200, seganda jumlah daripada tahun lepas,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat, justeru penambahbaikan program SARA merupakan langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya, kerajaan juga akan mengumumkan lebih banyak penambahbaikan kepada bantuan lain bagi mengangkat ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!