Harga gula perlu ikut harga global - Penganalisis ekonomi

Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Mohd Farid Wan Zakaria
Gambar hiasan. Gambar kecil: Wan Mohd Farid Wan Zakaria
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan bergantung kepada gula import sepenuhnya di masa hadapan sekiranya industri itu di negara ini tidak lagi mampu beroperasi.

Penganalisis ekonomi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, jika ia berlaku harga gula bakal ditentukan oleh pasaran dunia.

“Harga jauh lebih tinggi daripada harga gula yang diproses dan dijual di dalam negara kini.

“Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada bekalan daripada luar untuk barangan asas seperti gula diproses. Kita juga perlu mengambil kira jika berlaku ketidakstabilan dan gangguan rangkaian bekalan dunia.

“Dan risiko jika negara pembekal mengehadkan atau membekukan eksport mereka untuk memberi keutamaan kepada pasaran domestik masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar Wan Mohd Farid, kebergantungan import yang tinggi akan meningkatkan lagi risiko terdedah kepada impak kadar mata wang ringgit yang lemah.

Menurutnya, langkah yang akan diambil kerajaan dalam menangani harga gula ini perlu mengambil kira kesan jangka panjang dan pendek serta impak kepada golongan berpendapatan rendah.

Ketika ini harga runcit gula hanya meningkat satu sen sejak sedekad lalu iaitu daripada RM2.84 sekilogram pada 2013 kepada RM2.85 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mempunyai harga runcit gula termurah di rantau ASEAN dan antara yang terendah di dunia.

Tambah Wan Mohd Farid, harga rendah terkawal yang ditetapkan kerajaan Malaysia kini menghimpit pengeluar gula kerana kos pengeluaran meningkat dengan ketara.

“Pengeluar gula berdepan dengan risiko kerugian dan kelumpuhan industri gula tempatan jika tiada langkah drastik diambil oleh kerajaan untuk menangani dilema harga gula.

“Menurut analisis industri, MSM mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap satu kilogram gula yang dikeluarkan, susulan peningkatan harga gula mentah dunia yang kini pada kadar AS$21.7 setiap tan.

“Syarikat pengeluar gula utama negara itu beroperasi dalam kerugian sejak dua tahun lalu dengan terbaharu, rugi sebanyak RM36 juta bagi suku ketiga 2023,” katanya.

Ujar beliau, permintaan menaikkan harga gula oleh syarikat pengeluar pasti mendapat reaksi negatif orang ramai yang gusar mengenai langkah kerajaan menstruktur semula pemberian subsidi.

“Namun demikian, difahamkan kerajaan sedang berusaha untuk memastikan impak kenaikan harga barang kepada golongan B40 diminimakan terutamanya menerusi mekanisme jualan Rahmah,” katanya.

INFO

Harga runcit gula negara ASEAN (sekilogram)

Vietnam RM5.60

Thailand RM3.91

Singapura RM7.34

Filipina RM8.16

Myanmar RM5.37

Laos RM5.63

Indonesia RM5.74

Kemboja RM6.02

Brunei RM4.57

Malaysia RM2.85