'Kalau tak sokong politik, sokong ke arah perubahan' - PM
KUALA LUMPUR - Golongan intelektual di negara ini perlu berani bersuara demi menyokong usaha ke arah perubahan tatakelola dan menghapuskan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengharapkan sokongan itu dapat diberikan meskipun menyedari wujudnya pihak yang membenci usaha tersebut.
"Saya mulakan dengan tatakelola. Memang tatakelola dan rasuah ini dibenci oleh beberapa pihak. Mereka kata, Anwar ni tak ada modal lain.
"Tetapi mereka tidak sedar sebab rasuah dan tatakelola lemah, berbilion wang rakyat dipunggah untuk tokoh-tokoh tertentu.
"Saya harap saya akan dapat (sokongan) kalau tak ada sokongan dalam politik dan lain-lain, sekurang-kurangnya dalam isu tatakelola dan tuntutan ke arah perubahan, saya mohon dukungan penuh daripada rakyat terutamanya golongan pemikir," katanya ketika berucap merasmikan Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia', di Universiti Malaya (UM), di sini pada Isnin.
Anwar menambah, pandangan haprak bahawa jawatan menteri serta Perdana Menteri untuk mengumpul kekayaan perlu diperangi.
Katanya, seluruh sistem di negara ini perlu bertanggungjawab bagi memastikan berlaku perubahan.
"Berapa (ramai) sarjana yang bicara dengan berani yang mengizinkan ketelanjuran begini, kita semua harus pikul tanggungjawab termasuk saya," katanya.
Sementara itu, Wacana Pemikir Global 2024 bertemakan 'The Next 100 years: Vision 2100 for Malaysia' menjadi platform mengumpulkan golongan akademik dan juga pakar terkemuka negara untuk berbincang dan berbahas memfokuskan kepada isu-isu kritikal yang akan dihadapi negara pada 100 tahun akan datang.
Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, dalam ucapannya berkata, platform itu diwujudkan untuk membentuk wacana dan rencana masa depan sebagai panduan intelektual yang utuh, berani dan yakin untuk mencorak imaginasi dan dasar strategik masa depan negara.
“Siri tema 100 tahun akan datang ini menjadi medan kritikal sekarang untuk rencana bersama dalam memastikan negara dan bangsa kekal dengan daya tahan dan keutuhan tinggi dalam membentuk acuan masa depan baharu.
“Penyelidikan menjadi prioriti kritikal dalam melonjak perubahan negara dan kemanusiaan. Teras utama dalam memastikan hasil dan impak penyelidikan akan bersasarkan kepada fokus terhadap sektor utama yang akan membentuk hala tuju negara masa depan.
"UM terus proaktif, strategik dan futuristik dalam memperkasa landasan baharu sektor dan tumpuan penyelidikan yang akan melonjak kepentingan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!