Rangka disyaki Bella perlu dikebumi seperti jenazah biasa

Tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.
Tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.
A
A
A

BATU PAHAT - Rangka manusia yang ditemui di rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di sini perlu diuruskan sebagaimana jenazah seperti kebiasaannya, sekiranya didapati ia milik individu yang beragama Islam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, rangka tersebut perlu diuruskan dan dikebumikan sehingga setakat mana yang ditemui serta ianya boleh disatukan walaupun ianya tidak lengkap seperti mayat yang sebenar.

Jelasnya, sekiranya rangka yang ditemui itu tidak lengkap, penyempurnaannya sama seperti jenazah yang lengkap yang perlu dimandikan sehinggalah rangka tersebut dikebumikan.

“Kita telah maklum berkenaan penemuan rangka manusia di Tongkang Pechah, dekat sini, baru-baru ini. Sebagai maklum balas pertama saya sekiranya ianya rangka itu milik individu beragama Islam ia perlu disempurnakan macam uruskan mayat yang sebetulnya,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadaban Islam Johor (PIJ), di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM pada Isnin.

Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang akhbarnya memaklumkan rangka manusia itu ditemui pada jam 2 petang Jumaat selepas dipandu salah seorang suspek.

Katanya, sebelum ini tiga suspek berkaitan kes kehilangan Bella atau Mira Sharmila Samsusah, 36 telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.

Pada Ahad, Polis Johor dilaporkan akan membuat permohonan kepada Jabatan Kimia agar mempercepatkan keputusan proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel rangka manusia yang ditemui itu dan keputusan sampel DNA itu akan diperolehi sekurang-kurangnya dalam minggu ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu gagal dihubungi selepas hilang keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap, untuk mencuci pakaian di kedai dobi.

Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.

Berkenaan dengan MoU yang dimeterai, Mohd Fared memaklumkan UTHM dan PIJ akan bekerjasama dalam beberapa bidang antaranya kemanusiaan dan sains sosial, penerbitan, perundingan, latihan dan pembagunan kerjaya, khidmat sosial serta usahasama dan perkongsian program pemacuan sosio ekonomi Johor.

Mohd Fared (tiga dari kiri) hadir Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadaban Islam Johor (PIJ), di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM pada Isnin.
Mohd Fared (tiga dari kiri) hadir Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Perbadaban Islam Johor (PIJ), di Perpustakaan Tunku Tun Aminah UTHM pada Isnin.

Katanya, dalam masa yang sama melalui MoU itu PIJ juga telah menyalurkan bantuan berupa 147 mesin cetak kepada pelajar B40 anak Johor.

“Saya berharap kerjasama seumpama ini dapat memberi manfaat berterusan bukan sahaja kepada UTHM dan PIJ, malah kepada pelajar dan masyarakat khususnya di negeri Johor,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!