Guru tuisyen rugi lebih RM3,000 terpedaya tawaran kerja sementara
JEMPOL- Gara-gara terpedaya tawaran kerja sementara, seorang guru tuisyen di Bahau, di sini kerugian lebih RM3,000.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 29 tahun itu di Balai Polis Bahau, pada Sabtu.
"Kira-kira jam 9 malam, semasa berada di rumah, mangsa berminat dengan iklan kerja sementara di akaun Facebook Stephy Phang yang dijanjikan komisen dengan cara berkongsi ulasan setiap bil syarikat penerbangan.
"Mangsa telah meninggalkan komen dalam Facebook dan kemudian dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh ejen bernama Yuki di talian 014-7342231 yang kemudian memasukkannya dalam sebuah kumpulan WhatsApp," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, mangsa kemudian diberikan akaun bank untuk pembayaran dan diajar mengenai kerja dan apa yang perlu dilakukan.
Tambahnya, kira-kira jam 1.42 petang, mangsa telah membuat bayaran pertama ke dalam sebuah akaun dan empat kali bayaran lagi untuk mendapatkan komisen yang dijanjikan kepada akaun bank sama.
“Wanita itu curiga dan berasa tertipu selepas penawar kerja masih memintanya membuat bayaran untuk mendapatkan komisen lebih tinggi sebelum membuat laporan polis setelah kerugian sebanyak RM3,373.60,” katanya.
Dalam kes berasingan pula, Chang Hook berkata, seorang pelajar wanita berusia 20 tahun di Bandar Seri Jempol, di sini rugi RM1,710 setelah terpedaya dengan tawaran sewa bilik secara dalam talian, Jumaat lalu.
Katanya, mangsa mencari rumah sewa di Kuantan, Pahang melalui aplikasi Telegram dan telah dihubungi seorang lelaki memaklumkan terdapat bilik sewa untuk dimasuki pada hujung Januari.
“Sewa bulanan bilik tersebut adalah sebanyak RM410 dan individu tersebut meminta pengadu membuat bayaran pendahuluan RM205 dan RM200 untuk perjanjian sewa bilik. Malah pengadu juga telah buat pembayaran.
"Mangsa diminta untuk membuat pembayaran penuh dan beberapa lagi bayaran sedangkan pada awalnya mangsa dijanjikan hanya perlu membayar RM615 untuk satu bulan sewa dan separuh deposit," katanya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
"Saya harap orang ramai tidak mudah tertipu dengan urusan dalam talian terutamanya yang tidak pernah bersemuka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!