KPKM bekerjasama dengan MyCC siasat kartel beras

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
A
A
A

PEKAN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan bekerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berhubung dakwaan wujudnya sindiket 'kartel' dalam isu beras negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama tersebut dibuat bagi membolehkan agensi itu melakukan siasatan lanjut terhadap kartel berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun, siasatan terbabit mengambil sedikit masa kerana ia perlu melakukan penelitian keseluruhan sektor industri padi dan beras.

"MyCC mengambil sedikit (masa untuk menjalankan siasatan) kerana kebiasaannya isu kartel ini tidak boleh tuduh sebarangan dan ia perlu memahami keseluruhan rantaian terlebih dahulu.

"Jadi, kesimpulan awal, kita tidak boleh buat lagi, tapi perlu melihat dari aspek rantaian makanan di sektor padi dan beras kerana ia melibatkan beberapa peringkat daripada benih sampai ke beras," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan di Kampung Merchong di sini pada Isnin.

Program itu telah dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum ini, Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) mendakwa wujud ‘permainan’ tertentu di dalam Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selain mendakwa isu kartel berkemungkinan benar-benar berlaku.

Artikel Berkaitan:

Presiden Barim, Ismail Awang dilapor berkata, ahli persatuan itu tidak mendapat bekalan beras tempatan daripada Bernas kerana dikatakan tiada stok, sebaliknya sebahagian besar pasar raya mendapat bekalan berkenaan dakwaan terdapat ‘permainan’ tertentu di dalam Bernas sehingga wujud 'kartel'.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sesi libat urus akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan syarikat terlibat berada di landasan betul.

Al-Sultan Abdullah (kiri) dan Mohamad memandu jentanam di sawah padi di Kampung Merchong selepas merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan di sini pada Isnin.
Al-Sultan Abdullah (kiri) dan Mohamad memandu jentanam di sawah padi di Kampung Merchong selepas merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan di sini pada Isnin.

"Bila kita buat libat urus mereka (syarikat berkaitan urusan pada dan beras) akan ikut. Kadang-kadang (ada syarikat) terkeluar rel (landasan) tapi ia tak banyak.

"Namun kita selalu diuar-uarkan (untuk mereka sertai ) libat urus. Macam hari tu hal (berkaitan) telur dan ayam, kita buat libat urus. Bila kita apungkan harga, alhamdulillah berada dalam keadaan stabil, jadi libat urus ini yang kita utamakan terlebih dahulu," ujar beliau.

Menyentuh mengenai program Smart SBB, Mohamad berkata, KPKM mencadangkan petani menggunakan varieti benih padi jenis MRQ 103 Padi Wangi Malaysia (MARIA-MARDI Rice Aroma) bagi menambahkan pendapatan.

Katanya, saranan cadangan itu kepada 84 petani yang mengikuti projek 10 Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian.

Tambah beliau, menerusi projek itu, seluas 168 hektar sawah diusahakan KPA berkenaan sebagai kesinambungan kepada KPA Skim Merchong yang kini mempunyai seramai 1,716 petani melibatkan 4,134 hektar.

“Varieti padi MRQ 103 MARIA atau MARDI Rice Aroma ini kacukan antara varieti padi MRQ 89 dan MRQ 50 dengan tempoh tuaian selama 115 hari.

“Cadangan harga jualan padi pula berdasarkan harga semasa jualan padi wangi dengan nilai tambahan RM100 ke atas berbanding harga jualan padi putih semasa," katanya

Beliau menjelaskan secara prinsipnya, cadangan projek ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran produktiviti padi negara melalui strategi di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021 hingga 2030 dengan memberi penekanan kepada peningkatan kecekapan guna tanah dan air untuk produktiviti yang lebih tinggi.

Mohamad berkata, program Smart SBB ini akan diaplikasikan ke kawasan padi di negeri lain seperi Johor Bahru, Melaka termasuk Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan itu akan dilakukan secara berperingkat dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi pada masa akan datang.

"Kita sasar di Pahang dalam 6,000 hektar (penanaman padi), di Langkawi 500 hektar yang akan dilancarkan pada April depan manakala di Pasir Pasir, Kelantan pada penghujung bulan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!