Tun M cabar Anwar untuk adakan pilihan raya
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pilihan raya bagi menentukan sokongan rakyat kepadanya.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, ketika ini kerajaan pimpinan Anwar menyalahgunakan kuasa dengan menyiasat pihak yang dilihat menggugat kedudukannya sebagai ketua kerajaan.
"Saya menang lima pilihan raya dengan majoriti dua per tiga. Rakyat ada peluang untuk menukar saya (tetapi) tak berlaku. Kalau saya menyalahgunakan kedudukan, saya akan buat satu pilihan raya.
"Jadi saya cabar Anwar untuk adakan satu pilihan raya umum hari ini, sama ada dia berani atau tidak untuk melihat apa yang rakyat akan katakan," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Isnin.
Dalam pada itu Mahathir turut berpandangan, lantikan Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah secara kebetulan dan bukan dipilih.
Oleh kerana itu dakwanya, Anwar sepanjang menyandang jawatan itu tidak mengetahui cara untuk menyelesaikan masalah rakyat ketika ini.
"Apabila jadi PM, dia (Anwar) menggunakan ancaman terhadap orang ramai. Dia tidak tahu bagaimana untuk selesaikan masalah ekonomi, politik, sosial rakyat.
"Dia (kata) nak lawan rasuah. Lawan rasuah selepas Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dilepaskan.
"Adakah itu cara anda melawan rasuah? Orang yang AG (peguam negara) kata ada bukti prima facie dan terlibat dengan 47 kes rasuah, boleh lepas begitu sahaja," katanya.
Sinar Harian pada September lalu melaporkan, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa semua kes terhadap Timbalan Perdana Menteri itu diberhentikan.
Semasa prosiding, Mohd Dusuki berkata, pihak pendakwaan menyatakan demikian berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!