'Kami tetap tunggu hasil ujian DNA Bella' - Keluarga

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Biarpun dijangka mengambil masa lama bagi mendapatkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia, namun keluarga Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32, akan tetap menunggu bagi mengetahui keputusan akhir ujian tersebut.

Abang ipar Bella, Mohd Fairuzizan Yusak, 39, berkata, keputusan DNA tersebut juga dilihat antara ikhtiar dalam usaha mengenal pasti siapakah pemilik rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, Batu Pahat, baru-baru ini.

“Kami dimaklumkan sampel ujian DNA yang diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia untuk dianalisis akan mengambil masa.

“Bagaimanapun, kami dimaklumkan bahawa pihak polis telah meminta agar keputusan sampel ujian itu dipercepatkan.

“Insya-ALLAH, dalam masa dua tiga hari lagi atau dalam masa terdekat, keputusannya akan kita ketahui,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam masa sama, Mohd Fairuzizan berkata, mereka berharap keputusan DNA dapat diketahui dalam kadar segera bagi merungkai segala persoalan berhubung kehilangan Bella.

Katanya, pihak keluarga juga ada melakukan solat hajat serta bacaan Yasin bagi membantu melancarkan lagi segala urusan mengenai Bella.

Untuk rekod, Bella dilaporkan hilang apabila tidak pulang setelah keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya, 14 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penemuan rangka manusia termasuk tengkorak dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di sini pada Jumaat dijangka dapat merungkai kehilangan ibu tunggal tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui jam 2 petang selepas dipandu salah seorang suspek.

Susulan penemuan itu, ujian DNA dilakukan bagi pengesahan identiti Bella.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!