Fosil karang purba akan dikekalkan

Nizarulikram (kiri) menunjukkan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang di Kampar.
Nizarulikram (kiri) menunjukkan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang di Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak akan mengekalkan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun di lokasi penemuannya di Kampung Changkat Tualang di sini.

Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, bagaimana pun kajian lanjut akan dibuat selain pemetaan kawasan berkenaan turut dilakukan bagi membolehkan ia menjadi sebahagian lokasi Geotapak, Geopark Lembah Kinta.

Menurutnya, proses pemetaan tersebut akan dilaksana secepat mungkin pada tahun ini setelah peruntukan untuk melaksanakannya diterima dan melibatkan pakar-pakar daripada universiti serta pihak-pihak berkaitan.

"Sama ada sampel fosil ini akan dibawa keluar atau tidak, itu bergantung kepada sampel di lapangan. Kalau kita tak boleh nak ambil, kita akan kekalkan. Pada pandangan kami, lebih baik dikekalkan supaya sesiapa pun datang ke sini melihat dan boleh juga menjadi salah satu bahan tarikan orang luar atau pelancong datang ke tempat ini selain untuk faedah komuniti di tempat ini.

Fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang.
Fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun yang ditemui di Kampung Changkat Tualang.

"Kita akan cuba kekalkan di sini tetapi apabila dikekalkan perlu ada elemen pemuliharaan supaya kekal di situ berada dalam tempoh yang lebih lama kerana jika dibiarkan dalam keadaan sekarang, ia akan terdedah kepada luluhawa dan sebagainya. Jadi sampel fosil itu akan rosak selepas beberapa tahun mungkin disebabkan cuaca hujan panas, ia akan reput dan sebagainya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak penemuan fosil berkenaan di Changkat Tualang di sini pada Isnin.

Nizarulikram berkata, pihaknya juga akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan namun perkara itu bergantung kepada proses pemetaan yang akan dilakukan bagi menentukan keluasan zon pemuliharaan fosil berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika direalisasikan kelak, fosil berkenaan akan menjadi tumpuan kerana ia merupakan antara beberapa fosil marin di Geopark Lembah Kinta kerana fosil-fosil sedia ada di gua-gua batu kapur merupakan fosil daratan.

Sementara itu, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Majlis Daerah Kampar serta polis untuk memastikan kawasan berkenaan dilindungi.


Nizarulikram (tiga dari kanan) mengadakan lawatan tapak penemuan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun di Changkat Tualang di Kampar pada Isnin.
Nizarulikram (tiga dari kanan) mengadakan lawatan tapak penemuan fosil karang purba dianggarkan berusia 300 juta tahun di Changkat Tualang di Kampar pada Isnin.

"Kita memerlukan kerjasama yang erat daripada pihak komuniti yang berada paling dekat dengan kawasan ini selain itu mungkin pihak polis juga.

"Paling kita risaukan mereka yang tidak bertanggungjawab akan merosakkan sampel fosil yang sangat berharga ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak (GEONAT) menjumpai fosil karang purba pelbagai spesies dianggarkan berusia 300 juta tahun.

Fosil yang terdiri daripada beberapa jenis hidupan purba spesies siput laut yang sudah lama pupus itu ditemukan di sebuah kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan Kampung Changkat Tualang, Kampar.

Naib Pengerusi GEONAT, Mohd Fadly Md Noor memaklumkan, kumpulan itu menjelajah kawasan berkenaan selepas melakukan rujukan daripada jurnal lama termasuk rekod pengkaji lama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!