PH komited bantu calon Warisan menang PRK Kimanis

Dr Wan Azizah
Dr Wan Azizah
A
A
A

BEAUFORT - Pakatan Harapan (PH) komited membantu bagi memastikan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PH berkata, sebagai rakan kepada PH, pakatan itu akan berusaha agar calon Warisan berkenaan meraih kejayaan tersebut.

"PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

“Ini (PRK Parlimen Kimanis) satu lawan satu antara Warisan dan BN (Barisan Nasional). Selalunya di Sabah ada banyak (calon) Bebas tetapi pada kali ini (berbeza) sebab apabila diumumkan (calon bertanding) tidak ada Bebas. Hanya satu lawan satu.

“Kita (akan bantu) menangkan Karim sebagai calon Warisan yang turut dianggap sebagai calon PH,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Membakut dekat sini hari ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah adalah antara pemimpin kanan PH bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengiringi Karim ke pusat penamaan calon PRK Parlimen Kimanis di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir di sini.

PRK Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim yang juga Ketua Bahagian Warisan Kimanis dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Parti Keadilan Rakyat berkata, proses penamaan calon yang berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini memperlihatkan kematangan dalam kalangan penyokong kedua-dua parti.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari.

PRK di kawasan Parlimen itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Semalam, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak usaha terakhir Anifah Aman untuk menyemak semula keputusan dibuat mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada PRU14, yang menyaksikan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!