Tiga wakil NGO dijangka menghadap Agong esok

Wan Faizul (duduk, tengah) menunjukkan antara isu berbangkit yang akan dikemukakan menerusi memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.
Wan Faizul (duduk, tengah) menunjukkan antara isu berbangkit yang akan dikemukakan menerusi memorandum yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dijangka menerima perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyampaikan memorandum yang mengandungi pelbagai tuntutan melibatkan isu semasa negara pada Selasa.

Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Faizul Wan Abas berkata, memorandum mengandungi luahan suara hati rakyat itu akan diserahkan sekitar jam 10 hingga 10.30 pagi menerusi Himpunan Selamatkan Rakyat yang dijadual berlangsung di hadapan pintu 2, Istana Negara.

Menurutnya, pelbagai perkara yang akan dibangkitkan antaranya melibatkan isu ekonomi, kos sara hidup, integriti dalam kepimpinan negara dan sensitiviti agama.

"Ada beberapa sebab utama Himpunan Rakyat Daulat Tuanku wajar diadakan antaranya melibatkan fitnah tidak bertanggungjawab terhadap institusi diraja sendiri yang mengaitkan dengan isu rasuah.

"Dalam masa yang sama, kita melihat Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini tidak kompeten untuk menguruskan ekonomi negara. Pelbagai bukti boleh dilihat, antaranya kenaikan harga beras, bawang, besi, tambang bas sekolah dan pelbagai lagi keperluan asas lain.

"Bukan itu sahaja, Ringgit Malaysia dan Bursa Saham terus menjunam dan tidak menentu meskipun kerajaan hari ini dilihat kerap bercakap soal formula," katanya ketika sidang akhbar di sini, pada Isnin.

Tambah Wan Faizul, isu korupsi dan salah guna kuasa juga akan diketengahkan kerana dilihat masih berleluasa, tidak senada dengan janji yang dilaungkan kerajaan sebelum ini untuk memerangi rasuah.

"Banyak isu berbangkit yang akan diketengahkan oleh NGO-NGO di seluruh negara. Bagi peringkat Terengganu sendiri, isu royalti yang disekat oleh kerajaan Pusat juga memberi bebanan kewangan terhadap negeri itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, lebih 20 NGO dari Terengganu akan bersama-sama NGO dari seluruh negara bagi menyatakan sokongan terhadap himpunan tersebut.

"Kami berpandangan kerajaan yang ada ini perlu berubah atau diubah dan kami yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan untuk membantu rakyat berhadapan dengan pentadbiran negara yang gagal ini.

"Kita harap lebih ramai lagi yang akan hadir dan bersedia untuk himpunan terbesar rakyat dalam mempertahankan institusi Raja Melayu dan kedaulatan tanah air, " katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!