Masyarakat perlu cakna, elak warga asing 'besar kepala'
SHAH ALAM - Lambakan warga asing telah menyebabkan segelintirnya berani bertindak sesuka hati seolah-olah tidak takut dengan pihak berkuasa dan undang-undang di negara ini.
Lebih membimbangkan apabila ada yang masuk ke negara ini secara haram, ditambah pula sesetengahnya bersikap menjelikkan sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat setempat.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial berhubung tindakan sekumpulan warga asing menceroboh rumah kosong yang ditinggalkan selama 10 tahun.
Perkara tersebut didedahkan oleh pemilik Facebook Srilabu Kedah yang memberitahu dia menyedari perkara itu selepas diamanahkan oleh pemilik rumah untuk melihat keadaan kediaman tersebut bagi urusan jual beli.
Bagaimanapun, dia mengakui terkejut rumah yang disangka tidak berpenghuni tersebut sudah didiami penghuni 'haram'.
Sementara itu, Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berpendapat, kes sedemikian menunjukkan terdapat sekelompok warga asing sudah ‘besar kepala’ sehingga berani melanggar undang-undang negara.
Sehubungan itu, beliau turut meminta pihak pengurusan taman perumahan atau flat peka dengan kehadiran penghuni baharu terutama melibatkan warga asing bagi mengelak kejadian sama berulang.
Dalam masa sama, masyarakat perlulah prihatin dengan keadaan sekeliling kerana dengan kecaknaan tersebut, ia dapat membantu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan lebih awal.Sebarang kecurigaan yang timbul, perlulah segera dilaporkan kepada pihak berwajib.
Ini kerana, keprihatinan masyarakat dapat mengelak warga asing daripada melakukan sesuatu sewenang-wenangnya, dalam masa sama menyedarkan pihak luar untuk menghormati peraturan dan undang-undang di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!